Oleh Ak Zaki Kasharan –
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 JULAI – Kejayaan menyandang johan pada musabaqah membaca Al-Quran bukanlah tujuan utama sebaliknya hanyalah sebagai dorongan bagi meningkatkan lagi ilmu pengetahuan di samping memperdalam kemahiran pembacaan Al-Quran secara berterusan.
Perkara itu diungkapkan oleh johan qari Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan 1444 Hijrah/2023 Masihi yang baru dinobatkan kelmarin, Pengiran Muhammad Amirul Aiman bin Pengiran Haji Marjuki semasa ditemu bual selepas majlis itu.
Pegawai Pelajaran di Sekolah Menengah Arab Laki-laki Hassanal Bolkiah (SMALHB) itu seterusnya mengongsikan bahawa pembacaan Al-Quran perlu diperdalami oleh setiap umat Islam dan pertandingan berkenaan cuma sebagai pendorong agar kita lebih mendekati diri dengan Al-Quran memandangkan ia merupakan sumber pegangan kita.
Menyentuh mengenai latihan yang dijalaninya bagi menghadapi pertandingan tersebut, beliau menjelaskan bahawa beberapa persiapan intensif dalam tiga bulan kebelakangan telah dilakukannya bersama guru-guru Al-Quran di negara ini di samping mengikuti bengkel taranum Al-Quran bersempena musabaqah berkenaan yang diadakan di Kementerian Hal Ehwal Ugama dan dilatih oleh qari dari negara jiran, Malaysia.
Ia merupakan penyertaan kali keempat yang menyaksikannya layak mara ke peringkat akhir, dan ia merupakan kali pertama beliau memenangi pertandingan berkenaan.





Mula menceburi bidang pembacaan Al-Quran secara bertaranum sejak di bangku persekolahan agama lagi semasa kira-kira berusia tujuh tahun, Pengiran Muhammad Amirul Aiman bergiat aktif dengan lebih serius setelah menyertai pertandingan membaca Al-Quran anjuran Jabatan Pengajian Islam.
Sementara itu, johan qariah, Dayangku Fauziah Nadhirah binti Pengiran Haji Jofri turut menzahirkan rasa syukur kerana berjaya memenangi pertandi-ngan berkenaan buat kali kedua.
Menjadi anak kepada seorang qariah negara yang tidak asing lagi di negara ini, Hajah Aminah binti Haji Abdul Manaf, merupakan kelebihan bagi dirinya kerana dapat dibimbing oleh ibunya sendiri yang juga merupakan seorang guru.
Beliau cukup berbesar hati kerana dapat menjalani latihan harian secara intensif bersama ibunya sehinggalah dapat mencapai kejayaan.
Dayangku Fauziah Nadhirah juga berharap agar dapat mengikut jejak langkah ibunya bagi mengharumkan nama negara dalam bidang pembacaan Al-Quran bukan sahaja di peringkat kebangsaan tetapi juga di peringkat antarabangsa seperti yang diraih oleh ibunya yang merangkul johan Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa di Kuala Lumpur pada 2002.
Oleh itu, beliau mengharapkan agar dapat membacakan Al-Quran dengan sangat baik dan tajwid yang sempurna, lagu yang tidak lari dan sempurna serta diberikan kondisi suara yang jelas dan bersih pada tilawah Al-Quran peringkat antarabangsa nanti.
Berkecimpung dalam bidang pembacaan Al-Quran secara bertaranum sejak hampir 22 tahun lalu ketika berusia lapan tahun, beliau turut menitipkan nasihat kepada generasi muda yang berminat dalam bidang yang sama untuk meneruskan niat murni tersebut kerana ia memerlukan usaha yang berterusan serta latihan tanpa henti kerana kejayaan tidak akan datang dengan mudahnya.
Kegagalan, jelasnya lagi, harus ditempuhi dengan tabah tanpa mudah menyerah kalah seperti mana yang dihadapinya selama ini yang terpaksa mengharungi jatuh bangun dalam menyertai pertandingan-pertandingan pembacaan Al-Quran.
Adalah diharapkan agar kejayaan-kejayaan yang diperolehi oleh qari dan qariah negara ini dapat dijadikan contoh dan inspirasi kepada orang ramai di luar sana terutama sekali bagi para belia untuk memperdalamkan lagi ilmu tarannum Al-Quran.
Para belia di negara ini yang berminat dalam bidang taranum Al-Quran juga digalakkan untuk menghadiri dan mengikuti segala pertandingan yang dianjurkan atau kelas-kelas taranum bersama guru-guru yang berpengalaman lagi berkebolehan sebagai motivasi bagi diri sendiri dan menambahkan lagi ilmu pengetahuan khususnya dalam bidang pembacaan Al-Quran ini.

