Saturday, May 10, 2025
28.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Musabaqah semai rasa cinta terhadap Al-Quran

    Oleh Daniel Lim

    BELAIT, 25 FEB – Sebagai sebahagian daripada aktiviti tahunan sempena Sambutan Hari Kebangsaan ke-37, Jabatan Hal Ehwal Masjid dan Jawatankuasa Takmir Masjid Muhammad Jamalul Alam telah menganjurkan Musabaqah Membaca Al-Quran bagi masjid, surau dan balai ibadat senegara kali ketiga khusus untuk lelaki dan perempuan berusia 40 tahun ke atas.

    Pertandingan telah berlangsung di Masjid Muhammad Jamalul Alam di mana seramai 19 orang peserta iaitu sembilan lelaki dan 10 orang perempuan telah memperdengarkan bacaan masing-masing.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis bagi menyaksikan bacaan dan seterusnya menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim yang dialu-alukan oleh Pemangku Pengarah Hal Ehwal Masjid, Haji Amir Hisham bin Haji Masri.

    Muncul juara bagi kategori lelaki ialah Haji Awang Norasilin bin Haji Puting dari Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan diikuti oleh Awang Shahrin bin Haji Matnoor dari Balai Ibadat Kampung Saba, Daerah Brunei dan Muara di tempat kedua dan Haji Abdul Malik bin Haji Jumat dari Kampung Sungai Hanching, Daerah Brunei dan Muara di tempat ketiga.

    Bagi kategori perempuan, juara di-sandang oleh Hajah Maidah binti Haji Abdul Manaf dari Masjid Kampung Penapar, Tutong, manakala itu, Dayang Husna binti Basuri dari Masjid Duli Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Kampung Tamoi menduduki tempat kedua dan Hajah Norhayati binti Haji Ahmad dari Masjid Kampung Mentiri di tempat ketiga.

    Musabaqah berkenaan bertujuan untuk mendukung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk menjadikan negara ini sebagai sebuah Negara Zikir pada masa yang sama menanamkan perasaan cinta terhadap Al-Quran.

    Di samping itu, ia juga diadakan sebagai platform untuk mengumpulkan penduduk dari kawasan sekitar serta dari masjid-masjid, surau dan balai ibadat seluruh negara untuk menyertai aktiviti-aktiviti yang diadakan di masjid sebagai pusat pengetahuan dan pembelajaran.

    Haji Mohammad Rosli menyampaikan hadiah kepada Haji Awang Norasilin dan Hajah Maidah.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda