Thursday, December 26, 2024
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Musabaqah separuh akhir bakal bermula

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 NOV – Seramai 57 orang peserta terdiri daripada 46 qari dan 11 qariah akan memperdengarkan bacaan masing-masing dalam Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Separuh Akhir Kebangsaan Tahun 1446H/2025M yang akan diadakan selama tiga hari berturut-turut pada 11 hingga 13 November.

    Manakala Majlis Pengumuman Keputusan Musabaqah akan diadakan pada 14 November bertempat di Dewan Muzakarah, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas.

    Bagi memberi peluang orang ramai untuk mengikuti musabaqah tersebut, siaran secara langsung boleh diikuti melalui akaun Instagram rasmi Kementerian Hal Ehwal Agama (KHEU) @kheu.brunei.

    Di samping itu, Majlis Pengumuman Keputusan dan Penyampaian Hadiah dan Cenderamata kepada para peserta dan hakim Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Separuh Akhir Kebangsaan Tahun 1446H/2025M juga akan disiarkan secara langsung melalui Rangkaian Radio Nur Islam, Radio Televisyen Brunei.

    Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Kebangsaan merupakan laluan permulaan dan medan untuk para qari dan qariah negara melangkah ke peringkat akhir, serantau dan antarabangsa.

    Penganjuran musabaqah tersebut dihasrat akan dapat memberikan pendedahan dan galakan kepada qari dan qariah negara dalam meningkatkan mutu pembacaan masing-masing, di samping membuka minda dan minat masyarakat dalam mempelajari teknik bacaan yang betul dan lebih teratur sekali gus mendorong masyarakat ke arah celik ilmu Al-Quran.

    Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Kebangsaan merupakan salah satu projek tahunan KHEU.

    Gambar Unsplash
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda