Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 OKT – Awang Muhammad Israk Amsyar @ Muhammad Hafiz Mu’az bin Haji Sudirman, dan Dayang Juliana binti Haji Mat Jahit, masing-masing diumumkan sebagai Johan Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Saringan Kebangsaan di Masjid, Surau dan Balai Ibadat Seluruh Negara bagi Tahun 1447H/2025M bagi kategori lelaki dan kategori perempuan.
Majlis Penyampaian Hadiah dan Saguhati bagi musabaqah tersebut berlangsung di di Masjid Setia Ali, Pekan Muara kelmarin, di mana seramai 42 peserta telah terpilih untuk mara ke peringkat separuh akhir.
Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyampaikan hadiah kepada pemenang serta sijil penyertaan kepada para peserta dan jemaah hakim, Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Lawi bin Haji Lamat.


Tempat kedua dan ketiga bagi kategori lelaki, dimenangi oleh Awang Abdul Wafiy bin Haji Ibrahim dan Awang Muhammad Najib Min Fadlillah bin Haji Abdul Majid.
Sementara itu, pemenang bagi kategori perempuan Dayang Norhaneyah binti Nordin dengan markah purata 86.85 peratus, diikuti Dayang Siti Hajar binti Haji Yusop di tempat ketiga dengan markah 86.63 peratus.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Imam Masjid Setia Ali, Pekan Muara, Awang Mohammad Faisal bin Abdul Fauzi, diikuti dengan pengumuman keputusan oleh Pengerusi Jemaah Hakim Musabaqah, Awang Mohammad Ali Sabri bin Haji Yusof.

Majlis turut diserikan dengan persembahan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh peserta johan yang memperoleh markah tertinggi.
Musabaqah anjuran Jabatan Hal Ehwal Masjid melalui Bahagian Imarah, dengan kerjasama Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Setia Ali, adalah untuk mengenal pasti Qari dan Qariah yang berpotensi serta memperkasa budaya pembacaan Al-Quran dalam kalangan masyarakat Islam di negara ini.
Penganjuran musabaqah ini dihasratkan untuk menghayati isi kandungan Al-Quran serta menyemai nilai-nilainya dalam kehidupan beragama, berbangsa dan bernegara.
Ia juga bertujuan melahirkan Qari dan Qariah yang mampu membaca Al-Quran dengan lancar, sempurna dan bertarannum serta menjadi contoh teladan kepada masyarakat, di samping memupuk minat mendalam terhadap pembacaan Al-Quran dan mendidik generasi muda agar menjadikan Al-Quran sebagai amalan dalam kehidupan seharian.


Turut hadir di majlis itu, Pemangku Pengarah Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Awang Haji Amir Hisham bin Haji Masri; Ketua Bahagian Imarah, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Haji Fansuri Sharimi @ Haji Mansur bin Mohamad Ali; dan Pegawai Hal Ehwal Masjid, Masjid Setia Ali, Pekan Muara merangkap Pengerusi Bersama Majlis, Awang Nasehin bin Haji Yahya.
Hadir sama, Penghulu Mukim Serasa, Awang Saiful Adli bin Alihassan; Pemangku Ketua Kampung Masjid Lama, Kampung Sabun, Pekan Muara dan Pelumpong, Awang Shahminan bin Haji Abd Rahman; pegawai-pegawai kanan dan kakitangan Jabatan Hal Ehwal Masjid, Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Setia Ali, para peserta musabaqah, ahli-ahli Muslimah serta jemaah masjid berkenaan.

