(Dengan nama Allah, segala puji bagi Allah, selawat dan salam ke atas Rasulullah SAW, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)
Orang yang membuat pelayaran atau disebut juga sebagai musafir diberikan rukhsah iaitu keringanan hukum untuk mengqasar atau menjama‘ sembahyang fardu.
Maksud mengqasar sembahyang ialah memendekkan sembahyang fardu empat rakaat menjadi dua rakaat iaitu memendekkan sembahyang fardu Zohor, Asar dan Isyak.
Manakala menjama‘ sembahyang pula bermaksud menghimpunkan dua sembahyang fardu yang beriringan di dalam satu waktu iaitu menghimpunkan sembahyang fardu Jumaat dengan sembahyang fardu Asar secara jama‘ taqdim atau menghimpunkan sembahyang fardu Zohor dengan sembahyang fardu Asar dan sembahyang fardu Maghrib dengan sembahyang fardu Isyak, sama ada secara jama‘ taqdim atau jama‘ ta’khir.
Tujuan rukhsah ini adalah untuk memberi kemudahan kepada musafir yang pada kebiasaannya menghadapi kesusahan dan keletihan sepanjang pelayaran mereka.
Walau bagaimanapun perlu difahami tidak semua musafir (orang yang belayar) diharuskan untuk mengqasar atau menjama‘ sembahyang fardu mereka.

Ini kerana seseorang yang dalam pelayaran itu hendaklah memenuhi syarat-syarat tertentu untuk membolehkannya mengqasar dan menjama‘ sembahyang fardunya.
Jarak pelayaran
Seorang musafir dibolehkan mengqasar sembahyangnya apabila jarak perjalanannya pergi belayar (tidak termasuk jarak balik dari pelayaran) tidak kurang dari dua marhalah iaitu kira-kira 56 batu atau kira-kira 90 kilometer. Jika jarak perjalanan itu kurang daripada kadar tersebut, maka dia tidak dibolehkan mengqasar dan menjama‘ sembahyangnya.
Jika dia belayar ke satu jarak jauhnya melebihi dua marhalah, kemudian pada suatu tempat di pertengahan pelayarannya dia berniat untuk pulang, maka pada ketika itu dia tidak boleh mengqasar dan menjama‘ sembahyangnya selama mana dia masih berada di tempat tersebut. Akan tetapi jika dia keluar dari tempat tersebut, sama ada belayar balik semula ke negerinya atau meneruskan pelayarannya ke tempat lain, dan jarak perjalanannya itu dua marhalah atau lebih, maka pada ketika itu diharuskan baginya mengqasar dan menjama‘ sembahyangnya.
Pelayaran yang membolehkan sembahyang qasar dan jama’
Tidak semua permusafiran atau pelayaran diharuskan mengqasar dan menjama‘ sembahyang. Tujuan permusafiran atau pelayaran itu perlu juga dinilai untuk mendapatkan rukhsah menjama‘ dan mengqasar sembahyang.
Pelayaran yang dibolehkan mengqasar dan menjama‘ sembahyang itu disyaratkan pelayaran yang mempunyai tujuan yang diharuskan oleh syarak seperti menunaikan fardu haji, umrah, urusan kerja, mengurus perniagaan, menziarahi sahabat handai dan seumpamanya.
Manakala pelayaran kerana tujuan yang diharamkan seperti bertujuan untuk melakukan jenayah, mengurus perniagaan haram, ingin melakukan zina dan yang seumpamanya, tidak ada ruang untuk mendapat rukhsah mengqasar atau menjama‘ sembahyangnya.
Menentukan tempat
Untuk membolehkan seseorang itu mengqasar dan menjama‘ sembahyangnya, disyaratkan baginya menentukan tempat yang hendak dituju. Oleh itu tidak harus bagi orang yang tidak tahu ke mana hendak ditujunya atau seseorang yang berhenti di suatu tempat yang tidak ditentukannya mengqasar dan menjama‘ sembahyangnya.
Begitu juga halnya bagi orang yang mencari orang yang berhutang atau mencari orang yang lari dan tidak diketahui di mana ia berada dan dia ini tidak berkeinginan untuk membuat pelayaran yang jauh (disebabkan mencari orang tersebut), maka dia tidak boleh mengqasar dan menjama‘ sembahyangnya dan wajib baginya menunaikan sembahyang secara sempurna sekalipun perjalanannya mencapai dua marhalah atau lebih.
Walau bagaimanapun jika dia mengetahui bahawa dia tidak akan menemui orang yang dicari kecuali pada tempat yang jauh dari dua marhalah, maka dibolehkan baginya mengqasar dan menjama‘ sembahyang fardu.
Tempoh
Adapun tempoh menetap pada satu-satu tempat di negeri yang dituju, disyaratkan seorang musafir itu menetap tidak melebihi tiga hari (tidak termasuk hari sampai dan hari balik) yang diharuskan mengqasar dan menjama‘ sembahyang.
Jika seseorang itu sampai dan berniat untuk menetap atau bermukim pada satu tempat selama empat hari atau lebih (tidak termasuk hari sampai dan hari balik), maka putuslah safarnya (pelayarannya) sebaik-baik saja tiba di tempat tersebut dan tidak harus baginya mengqasar dan menjama‘ sembahyangnya.
Jika dia sampai pada tempat yang dituju kerana sesuatu urusan atau tugas dan dia tidak mengetahui berapa lama urusannya itu akan selesai di samping berniat akan meninggalkan tempat tersebut sebaik-baik saja selesai hajat atau urusan yang ditunggu-tunggunya setiap hari itu, maka diharuskan baginya mengqasar dan menjama‘ sembahyangnya dalam tempoh empat hari (tidak termasuk hari sampai dan hari balik).
Walau bagaimanapun jika urusan atau tugas tersebut tidak selesai dalam tempoh empat hari mengikut qaul al-azhar, maka harus baginya mengqasar dan menjama‘ sembahyang fardu sehingga 18 hari sahaja.
Jika dia sampai pada satu tempat dan dia mengetahui bahawa urusan atau hajatnya tidak akan selesai melainkan selepas empat hari (tidak termasuk hari sampai dan balik), maka tidak diharuskan baginya mengqasar dan menjama‘ sembahyangnya.
Berdasarkan keterangan di atas, jelas bahawa tidak semua orang yang hendak belayar itu dianggap sebagai musafir yang boleh mengqasar atau menjama‘ sembahyang fardunya, kecuali setelah memenuhi syarat-syarat qasar dan jama‘ seperti yang telah ditentukan oleh syarak.