Friday, February 7, 2025
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Muse menggila, beri impak maksimum

    Kebosanan lebih sejam menantikan kumpulan rock British, Muse muncul di atas pentas dibayar semula band popular itu apabila menghadiahkan persembahan yang memberikan impak kepuasan maksimum kepada lebih 50,000 penonton pada Konsert Will Of The People World Tour di Stadium Nasional, Bukit Jalil di Kuala Lumpur, Sabtu lalu.

    Segala perasaan resah dan gelisah lenyap sebaik sahaja pentas gergasi yang gelap pada awalnya menyalakan lampu menandakan band yang berasal dari Devon, England itu sudah siap siaga untuk beraksi.

    Bermula lagu Will Of The People yang menjadi pembuka tirai konsert hinggalah kepada lagu Knight Of Cydonia menjadi dendangan terakhir, Muse terus menggila dengan menghanyutkan emosi penonton dalam muzik elektronika ciptaan mereka.

    Tampil ringkas mengenakan celana denim koyak berserta kemeja T hitam sambil memetik gitar, vokalisnya, Matt Bellamy begitu memahami cita rasa peminat apabila memilih untuk menyanyikan lagu yang mampu membuatkan penonton tidak senang duduk dan mahu menari dan menyanyi bersama.

    Sepanjang beraksi, Bellamy tidak banyak berkomunikasi dengan penonton, sebaliknya menjadikan nyanyian sebagai satu cara untuk berinteraksi.

    Cuma, apa yang sering dilafazkan vokalis itu adalah ucapan penghargaan terhadap peminat yang tidak pernah jemu menyokong perjuangan dalam seni muzik.

    “Terima kasih Kuala Lumpur. Awda tunggu 16 tahun (untuk beraksi semula di Malaysia).

    Saya harap awda tidak perlu tunggu terlalu lama lagi selepas ini,” kata Bellamy disambut sorakan penonton.

    Diiringi dua pemuzik hebat iaitu pemain bes, Chris Wolstenholme dan drummer, Dominic Howard, konsert berdurasi 90 minit itu turut dibantu penggunaan pyrotechnics yang menyaksikan api setinggi 40 kaki menyala sebagai melatari nyanyian, selain pancaran laser. – Agensi

    Bellamy (tengah) tidak banyak berkomunikasi dengan penonton, sebaliknya menjadikan nyanyian sebagai satu cara untuk berinteraksi. – mStar
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda