Oleh Nurdiyanah R.
Sinaran keagungan kesenian Islam semakin menyinar di bumi Darussalam apabila terhasilnya Mushaf Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) yang telah digunakan buat kali pertama bagi menggantikan cokmar pada Majlis Hafl Al-Takharruj UNISSA ke-10 yang berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas, baru-baru ini.
Mengimbas kembali detik kema-nisannya, pada 24 Oktober 2011, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam selaku Canselor UNISSA telah berkenan melancarkan penulisan Mushaf UNISSA dan Mahrajan Hafl Al-Takharruj pertama UNISSA. Baginda Sultan telah berkenan memulakan penulisan mushaf dengan menulis Basmalah pada lembaran Ummul Kitab.
Sehubungan itu, selaras dengan kapasitinya sebagai sebuah universiti Islam yang menjadikan Al-Quran Al-Karim sebagai sumber rujukan utamanya, maka sudah sewajarnya universiti tersebut memiliki mushafnya yang tersendiri, dengan harapan ia nanti akan menjadi sumber keberkatan dan simbol keagungan Islam di Negara Brunei Darussalam di samping menjadi kepala perarakan menggantikan cokmar yang digunakan sebelum ini ketika Majlis Hafl Al-Takharruj.
Sentuhan hasil anak-anak tempatan
Dengan limpahan keizinan Allah SWT, setelah hampir 10 tahun, mushaf yang ditulis oleh anak-anak tempatan yang juga terdiri daripada tenaga akademik di UNISSA tersebut telah sempurna dihasilkan. Pada permulaannya, Mushaf UNISSA telah ditulis oleh Allahyarham Wan Habib bin Wan Ibrahim.
Selaku penulis asal dan juga pereka bentuk mushaf, Allahyarham Wan Habib yang menjunjung amanah penuh komitmen dan dedikasi berjaya menyelesaikan penulisan lima juzuk Al-Quran (terhenti pada ayat 57 dalam Surah Al-Ankabut) sebelum menghembuskan nafas terakhirnya pada 8 Februari 2015. Kemudian bermula pada 17 Jun 2015, penulisan mushaf diteruskan oleh Awang Muhammad Riziman bin Haji Usin sehingga sempurna.



Manakala itu, reka bentuk mushaf pula telah dihasilkan oleh beberapa orang anak tempatan yang berkemahiran iaitu Pengiran Haji Ibrahim bin Pengiran Haji Bakar, Allahyarham Wan Habib dan juga Awang Hamdy bin Emran.
Keindahan di sebalik sentuhan mushaf
Beberapa ciri keistimewaan dalam penulisan mushaf berkenaan iaitu dari segi penggunaan dakwat, reka bentuk serta penulisan yang mengutamakan mesra pembaca. Oleh itu, mushaf ini telah memberi lebih penekanan terhadap ejaan perkataan yang jelas, mudah dibaca oleh semua lapisan masyarakat.
Setiap warna dakwat mempunyai simbolnya yang tersendiri. Mengembalikan sistem penulisan mushaf yang asal iaitu ejaan perkataan menggunakan warna hitam. Manakala tanda-tanda baca adalah menggunakan warna yang berbeza. Tujuannya adalah untuk mengekalkan warna hitam bagi Rasm al-Uthmani sebagaimana yang ditulis oleh para sahabat dan membezakan antara Rasm al-Uthmani dengan tanda-tanda baca yang ditambah oleh ulama selepas mereka.
Mushaf mengutamakan jarak antara kalimah dengan kalimah yang lain, jarak huruf-huruf dalam kalimah serta peletakan baris yang jelas kedudukannya di samping mengekalkan kaedah tulisan nasakh yang digunakan dalam mushaf-mushaf yang lain.
Salah seorang pereka bentuk mushaf berkenaan, Pengiran Haji Ibrahim menjelaskan bahawa mushaf berkenaan mempunyai lima reka bentuk bingkai (jidar) penulisan mushaf yang berbeza, kesemua motif reka bentuk ini diambil daripada bentuk-bentuk bangunan masjid dan tumbuh-tumbuhan yang terdapat di Negara Brunei Darussalam.
Ketelitian digenggam demi lembaran kitab suci
Apabila berkongsi pengalaman dalam meniti liku-liku penulisan mushaf, Awang Muhammad Riziman menjelaskan bahawa pastinya sebelum terpilih untuk meneruskan legasi penulisan ayat-ayat suci Al-Quran tersebut, beliau bersama anak-anak tempatan yang lain telah mengikuti proses pemilihan bagi mengenal pasti individu yang berkelayakan.
“Alhamdulillah dengan izin Allah SWT jua saya terpilih sebagai penerus penulis mushaf UNISSA. Perasaan antara gembira, teruja dan takut pasti terasa di hati ini. Saya merasa gembira kerana dapat mencurahkan kecintaan saya dalam seni kaligrafi dan juga penulisan mushaf ini juga merupakan pengalaman pertama dalam hidup saya. Pada masa yang sama merasa teruja apabila diberikan peluang keemasan yang mungkin hanya datang sekali seumur hidup. Namun pastinya saya juga merasa bimbang kerana segala ketelitian perlu dite-kankan setiap masa kerana kita mengetahui bahawa keindahan ayat-ayat suci Al-Quran sungguh sempurna. Oleh itu, mestilah sentiasa berhati-hati dari segi penulisan huruf termasuklah baris dan tanda baca meliputi proses dan teknik dalam menyelesaikan lembaran Ummul Kitab agar dijauhi dari sebarang kesalahan,” ujarnya yang juga merupakan penolong pensyarah di universiti tersebut.
Tempuhi cabaran demi penulisan konsisten
Dalam pada itu, Awang Muhammad Riziman turut berkongsi bahawa sebelum memulakan detik-detik meneruskan penulisan mushaf, beliau dan ahli-ahli yang terlibat telah dihantar di Kuala Lumpur, Malaysia bagi mengikuti kursus selama dua minggu untuk menimba pengetahuan dalam ilmu kaligrafi di mana mereka didedahkan dengan pembelajaran secara praktikal dan teori daripada para fasilitator yang berkemahiran dan bertauliah khusus dalam bidang penulisan kaligrafi.
“Pada tempoh tiga bulan pertama, saya mengalami pengalaman yang begitu mencabar terutamanya dari segi gaya penulisan secara konsisten. Kadang-kadang kami perlu membuat semula penulisan lembaran-lembaran apabila mengalami sebarang perubahan gaya penulisan dan juga apabila berlakunya kesilapan pada baris huruf mahu pun tanda baca. Alhamdulillah, setelah hampir setahun, kami dapat mengimbangi penulisan secara konsisten secara perlahan-lahan dari segi segala bentuk dan saiz dalam penulisan kaligrafi,” tambahnya yang sememangnya insan yang sangat mencintai bidang seni kaligrafi sejak dari bangku sekolah rendah lagi.
Keindahannya sukar diungkapkan
Awang Muhammad Riziman yang sebelumnya begitu aktif mengikuti beberapa kelas dan kursus seni kaligrafi Islam dan salah satunya anjuran Pusat Dakwah Islamiah (PDI), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) lama-kelamaan menambahkan lagi minat yang mendalam sehingga ke detik ini, turut menjelaskan bahawa penetapan jumlah muka surat juga sentiasa ditekankan bagi tempoh masa mingguan mahu pun bulanan.
Walau bagaimanapun, pastinya begitu sangat mencabar untuk memenuhi misi tertentu kerana penulisan setiap ayat Al-Quran mestilah memerlukan ketelitian. Tidak hanya menulis dan selesai begitu sahaja, beberapa prosedur dan langkah serta proses tertentu juga ditekankan oleh bahagian-bahagian lain.
“Salah satu inisiatif yang saya laksanakan untuk memenuhi penyele-saian tempoh penulisan mushaf ini ialah dengan mengisi masa-masa terluang semasa berada di rumah dengan meneruskan penulisan ini. Bahkan juga perlu hadir lebih awal dan pulang lebih akhir demi untuk menanai amanah yang diberikan. Apabila kesibukan harian dan masa dikorbankan demi menyelesaikan curahan keindahan seni penulisan ayat-ayat suci Al-Quran bersama kita. Itulah suatu kemanisan yang pasti akan dapat dirasai. Segalanya sungguh indah dan sukar diungkapkan dengan kata-kata,” ujarnya dengan penuh ketulusan mengakhiri sesi temu bual bersama Media Permata, baru-baru ini.