Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Musical Mania 6 berlangsung September nanti

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 OGOS – Relentless Entertainment bersama Akademi Seni Persembahan sekali lagi bakal menghidupkan pentas seni tanah air dengan pementasan muzikal ke-13 mereka, Musical Mania 6 – A Celebration of Broadway & Westend Musicals, Pop Icons, Local Talent and the Growing Creative and Performing Arts Community.

    Dalam sidang media yang berlangsung di Coffee Bean & Tea Leaf, Pusat Beli-belah Hua Ho Onecity, Kampung Salambigar, pihak penganjur telah mengetengahkan mengenai aktiviti acara pertunjukan yang akan berlangsung selama tiga hari bermula 19 hingga 21 September ini di JIS Arts Centre.

    Persembahan tersebut akan diadakan pada jam 7:45 malam pada Jumaat, 19 September dan Sabtu, 20 September; manakala Ahad, 21 September akan diadakan pada jam 1:30 petang dan juga jam 7:45 malam.

    Tiket bagi zon tempat duduk bebas berharga $25, $35 dan $45 boleh didapati di cawangan-cawangan The Coffee Bean & Tea Leaf di One City, One Riverside dan Mata-Mata atau secara dalam talian melalui www.progresifevents.com iaitu termasuk pemilihan tempat duduk dan caj tambahan yang dikenakan.

    Sebagai kerjasama bersama Bank Baiduri, pemegang kad Baiduri akan menikmati diskaun sebanyak 10 peratus bagi pembelian tiket zon tempat duduk bebas bermula 29 hingga 31 Ogos.

    Acara berprestij ini akan menampilkan lebih daripada 40 orang penari, penyanyi dan pelakon yang turut menjanjikan persembahan penuh warna-warni yang sesuai ditonton seisi keluarga.

    Para penonton akan dibawa menghayati perjalanan muzik daripada karya Disney seperti Moana, Aladdin dan Mulan; karya Broadway termasuk Mean Girls, The Notebook dan Wicked; hinggalah ke lagu-lagu ikonik Michael Jackson, Backstreet Boys serta Kpop Demon Hunters.

    Produksi tahun ini mendapat sokongan daripada penaja platinum Bank Baiduri Berhad, penaja perak daripada Constance Brunei dan YippyTune Music School selaku jurulatih vokal rasmi, The Coffee Bean & Tea Leaf sebagai rakan tiket rasmi serta Kristal Media atau Kristal FM sebagai rakan media rasmi.

    Sejak lebih 17 tahun lalu, Relentless terus komited membangunkan bakat seni tanah air dengan memberi peluang kepada pelakon, penyanyi dan penari muda tempatan untuk menyerlah, di samping membuka ruang pengalaman kepada tenaga kerja di belakang tabir.

    Antara persembahan lalu oleh Relentless adalah Enchanted Forest (2013), Poppins (2015), Belle (2016), Shrek the Musical (2017), Cinderella (2018), Hairspray (2019), The InfluencHER serta siri Musical Mania yang kini memasuki edisi keenam.

    Sidang media berkenaan turut dihadiri oleh Amy Cheong dari Relentless Entertainment dan wakil daripada Bank Baiduri.

    Pengarah Relentless, Sumardi Hidus dalam kenyataannya berkata, “Kami membawa suara, budaya dan generasi yang pelbagai dalam satu pentas untuk meraikan karya Broadway antarabangsa dan juga komuniti kreatif Brunei. Musical Mania 6 akan menjadi sambutan paling berani kami setakat ini dalam membuktikan bagaimana seni persembahan mampu memberi inspirasi, menghiburkan serta menyatukan masyarakat.”

    Atas & Bawah: Antara suasana semasa sidang media tersebut.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda