Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 19 NOV – Suasana di Pasar Pelbagai Barangan Gadong terus meriah dengan kehadiran para pembeli yang mencari pelbagai jenis durian tempatan dan hibrid yang kini berada pada musimnya. Walaupun harga durian pada tahun ini dilihat tidak mahal dan juga tidak terlalu murah, ia masih kekal menjadi pilihan ramai, khususnya peminat tegar raja buah berkenaan.
Antara jenis durian yang menarik perhatian pengunjung ialah durian D168 (Tembaga) yang terkenal dengan isinya yang berwarna jingga pekat, selain durian kuning, durian merah tempatan, dan durian kampung yang tetap mempunyai peminat tersendiri. Durian hibrid turut menjadi pilihan kerana rasanya yang unik dan berlemak.
Tidak ketinggalan, durian premium seperti musang king dan tekka turut ditawarkan oleh peniaga-peniaga termasuk para peniaga suluk yang memenuhi ruang jualan di kawasan tersebut.
Kehadiran pelbagai jenis durian ini bukan sahaja memeriahkan suasana pasar, malah memberikan lebih banyak pilihan kepada orang ramai untuk mendapatkan durian mengikut cita rasa dan kemampuan masing-masing. Para pengunjung juga mengambil peluang menikmati variasi durian tempatan yang jarang diperoleh di luar musim.
Durian-durian yang dijual ini dijangka terus mendapat sambutan sepanjang musim, selaras dengan minat masyarakat tempatan yang sentiasa menantikan kehadiran raja buah setiap tahun.


