Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Musim durian yang dinantikan

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 OKT – Suasana jualan durian di beberapa kawasan di ibu negara semakin meriah apabila para penggemar raja buah itu mula tidak melepaskan peluang menikmati keenakan pelbagai jenis durian tempatan yang kini mula dijual.

    Tinjauan Media Permata mendapati, beberapa petak jualan di kawasan Pasar Pelbagai Barangan Gadong mula menerima kehadiran pelanggan sejak petang kelmarin hingga ke lewat malam.

    Para peniaga turut kelihatan sibuk melayan permintaan pelanggan yang datang untuk memilih durian kegemaran masing-masing.

    Menurut salah seorang peniaga, musim durian pada tahun ini sedikit berbeza berbanding tahun-tahun sebelumnya kerana hasilnya masih belum begitu banyak, namun sambutan daripada orang ramai tetap menggalakkan.

    Raja buah jadi tumpuan setiap kali musim buah. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI

    “Musim kali ini agak berlainan sedikit, sebab buahnya masih kurang, tetapi menjelang pertengahan Oktober nanti, hasil buah durian dijangka akan lebih meningkat kerana sudah waktunya musim gugur,” jelasnya.

    Beliau turut menambah bahawa walaupun hasil belum banyak, durian yang dijual tetap berkualiti dan mendapat sambutan, terutama jenis durian kawin, D168, D93, black thorn, musang king, dan banyak lagi.

    Kawasan jualan durian di Telanai turut menjadi tumpuan pengunjung yang datang bersama keluarga untuk menikmati durian di tempat yang disediakan, menjadikan suasana lebih meriah dan ceria.

    Para peniaga berharap musim durian tahun ini akan memberi hasil yang memuaskan menjelang pertengahan Oktober sekali gus memberikan rezeki tambahan kepada mereka serta menghidupkan lagi suasana jualan buah-buahan tempatan di negara ini.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda