Thursday, December 26, 2024
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Musim hujan, hati-hati penyakit denggi

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 25 DIS – Susulan musim hujan lebat dan berkemungkinan risiko banjir pada masa ini, seluruh lapisan masyarakat disarankan untuk sentiasa mengambil langkah-langkah berwaspada bagi meningkatkan keselamatan dan kesihatan diri dan ahli keluarga serta insan-insan di sekeliling.

    Kepekaan itu adalah sebagai usaha untuk mencegah dan menghindar sebarang kemalangan, kecederaan dan kemungkinan berlakunya penyakit-penyakit berjangkit bawaan makanan serta air.

    Antara penyakit itu seperti kolera, cirit-birit dan keracunan makanan selain bawaan vektor seperti demam denggi dan sebagainya

    Rasanya semua orang tahu demam denggi merupakan salah satu penyakit berbahaya yang boleh mengancam nyawa.

    Kebiasaan nyamuk aedes itu mudah membiak dalam takungan air sama ada di dalam atau di luar rumah seperti di pasu-pasu bunga, longkang-longkang yang tersumbat dan botol-botol plastik serta bekas-bekas tayar yang digunakan sebagai gubahan landskap

    Gambar Canva
    Gambar Canva

    Begitu juga di tempat-tempat takungan air yang tidak tertutup rapat seperti tangki air, baldi, tajau dan sebagainya serta sampah sarap yang boleh menakung air seperti tin-tin kosong, bekas-bekas tayar yang terbiar, botol-botol kosong dan bekas kotak makanan.

    Meskipun kes demam denggi di negara ini berada dalam situasi yang dapat dikawal. Namun alangkah baiknya jika kita menyemai sikap mencegah lebih baik daripada mengubati dalam kehidupan seharian dan sememangnya pendidikan secara menyeluruh kepada semua lapisan masyarakat merupakan kunci utama dalam sama-sama memerangi wabak demam denggi ini.

    Langkah-langkah pencegahan perlulah diutamakan, antaranya memastikan kita sentiasa menjaga kebersihan persekitaran rumah dan bangunan masing-masing.

    Begitu juga memastikan membuang takungan air dan sampah sarap secara kerap dan teratur terutamanya yang boleh menakung air serta menjadi punca pembiakan nyamuk aedes dan mencuci bekas-bekas tersebut dengan bersih untuk memusnahkan sisa-sisa telur nyamuk.

    Hal ini kerana telur-telur nyamuk boleh bertahan di tempat yang kering selama enam bulan dan sebaik saja telur-telur tersebut terdedah kepada air, telur-telur tersebut boleh menetas dalam masa tujuh hari.

    Oleh yang demikian, pembabitan semua pihak dalam membantu pihak kerajaan khususnya Kementerian Kesihatan dalam menangani bahaya penyakit demam denggi ini adalah menjadi tanggungjawab bersama.

    Bukan hanya setakat mewujudkan kesedaran semata-mata bahkan apa yang penting ialah bersama-sama kita menjadi masyarakat yang berperanan aktif dalam membanteras penyakit ini dengan lebih efektif dan efisien dari semasa ke semasa seperti menerusi kempen bergotong-royong di samping memanfaatkan teknologi digital melalui persembahan drama, pembuatan video pendek dan kesedaran bahayanya denggi menggunakan platform media sosial demi satu matlamat utama untuk sentiasa menyalurkan maklumat mengenai langkah pencegahan aedes daripada membiak, sampai kepada kumpulan sasaran.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda