Monday, July 14, 2025
26.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Musim kemarau di utara Eropah cetus kebimbangan petani

    PARIS, 23 MEI – Sebahagian kawasan utara Eropah telah mengalami musim kemarau terburuk dalam beberapa dekad dan dalam beberapa minggu kebelakangan ini, dengan petani dari Scotland hingga ke Belanda bimbang musim itu akan menjejaskan hasil tuaian jika ia berterusan.

    Kekurangan air boleh membantutkan pertumbuhan tanaman seperti gandum, jagung, biji sesawi dan barli, kata pensyarah agronomi di Institut Penyelidikan Agro Paris Tech, Nicolas Guilpart, kepada AFP.

    Negara-negara termasuk Perancis, Belgium, Britain dan Jerman telah menyaksikan jumlah hujan yang jauh lebih rendah daripada biasa di beberapa kawasan pada musim bunga ini, menyebabkan tanah menjadi kering dan berdebu.

    Cuaca panas yang jarang berlaku itu telah melambatkan kitaran hayat tanaman yang biasanya mula mengeluarkan tunas sekarang.

    Seorang petani di timur England, Luke Abblitt, berkata dia berdoa agar hujan turun ketika Britain mengalami musim bunga paling kering dalam tempoh lebih 100 tahun.

    “Cuaca berubah menjadi lebih ekstrem,” katanya kepada AFP.

    “Kami mengalami jumlah hujan yang banyak pada musim sejuk, sedikit hujan pada musim bunga atau musim panas,” katanya. Kami perlu menyesuaikan kaedah penanaman kami, melihat pelbagai tanaman berbeza untuk memerangi cuaca buruk ini,” tambahnya.

    Menurut Agensi Alam Sekitar, takungan air di Britain telah turun kepada paras sangat rendah. – AFP

    Gambar menunjukkan Takungan Woodhead berhampiran Glossop, utara England pada 9 Mei. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda