Musim kemarau tambah rezeki pengusaha ikan masin

GEORGE TOWN – “Inilah masa untuk mencari rezeki tambahan sebab saya tidak perlu risau dengan keadaan cuaca kerana saya boleh menjemur banyak ikan dalam masa sehari,” demikian kata pengusaha ikan masin, Ong Kim Khaw.

Lelaki  berusia 73 tahun itu bersyukur dengan cuaca panas terik sejak awal bulan lepas kerana ia meningkatkan sumber rezekinya.

Rutin kerja saya bermula 5 pagi sehingga 9 malam setiap hari, tetapi  kalau musim hujan kerja menjemur ikan tidak tentu masa dan ada kalanya operasi tutup, kata bapa kepada empat orang anak itu ketika ditemui Bernama di rumahnya di Teluk Kumbar, dekat sini.

Ong yang merupakan generasi ketiga mengusahakan perniagaan berusia 80 tahun itu berkata beliau mampu menghasilkan kira-kira 100 kilogram ikan masin sehari sepanjang musim panas.

Antara jenis ikan masin yang dihasilkannya adalah ikan talang, belanak, gelama dan duri yang dijual pada harga antara RM5.50 hingga RM18 sekilogram mengikut saiz ikan yang dijual di kawasan George Town dan Bukit Mertajam.

Pengusaha ikan masin, Ong Kim Khaw, sibuk menjemur ikan masin di hadapan rumahnya di Teluk Kumbar. – Bernama

Sementara itu, sebuah pusat cuci kereta di Seberang Jaya, Seberang Perai Tengah (SPT) mengambil inisiatif mengitar semula air dan menggunakan sistem tapisan untuk mencuci kenderaan sebagai langkah penjimatan air pada musim kemarau ini.

Muhd Syazwan Johari, 25, berkata sejak keluarganya memulakan perniagaan itu pada 2014, pihaknya mengamalkan langkah itu dalam usaha mengelakkan pembaziran air selain mengurangkan kadar bil air.

“Kadang kala pelanggan tidak akan memilih pusat cuci kereta yang kitar semula air kerana risau ia akan meninggalkan kesan pada kenderaan …tetapi jangan risau, air yang ditapis sememangnya bersih,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata kedainya menerima lebih 100 kenderaan untuk dicuci pada hari bekerja serta lebih 200 buah kereta pada hujung minggu, namun jumlahnya bertambah ketika musim kemarau kerana debu dan habuk yang melekat pada kereta.

Tinjauan Bernama di beberapa pusat cuci kereta di sekitar SPT mendapati banyak pusat cuci kereta menjalankan usaha kitar semula air, namun masih ada segelintir pengusaha yang tidak menghiraukan saranan penjimatan air yang dikeluarkan oleh Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP).

Semalam, Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP Datuk Jaseni Maidinsa menyatakan paras air di dua empangan utama di Pulau Pinang – Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang – berada jauh lebih rendah daripada kapasiti efektif biasa disebabkan oleh musim kemarau, dengan masing-masing berada pada paras 62 peratus dan 39.5 peratus yang disifatkan sebagai rekod terburuk.

Beliau berkata pihaknya akan memastikan kapasiti sedia ada mampu bertahan sehingga bermulanya musim hujan pada April atau Mei ini. – Bernama