Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 DIS – Musim kupang dan ikan tamban yang bermula sejak sebulan yang lalu digambarkan sebagai lubuk rezeki bagi para peniaga terutama sekali nelayan.
Dengan hasil laut yang diperoleh itu dimanfaatkan sebaik mungkin bukan saja bagi para peniaga malah, pembeli juga tidak melepaskan peluang mempelbagaikan masakan bagi kedua-dua hasil laut ini.
Menurut salah seorang pencari kupang, Awang Abdullah bin Musa, 30, semasa membuat penghantaran kupang kepada peniaga di Tamu Kianggeh, hari ini, menjelaskan, pada masa ini sambutan terhadap permintaan kupang sangat menggalakkan.
Beliau yang ditemani oleh anak perempuan berusia dua tahun, ketika ditemu bual media turut mengongsikan pengalaman beliau mengupang yang bukan satu perkara yang mudah, bukan hanya berhujan berpanas tapi harus juga pandai bermain dengan keadaan arus.
Selain mengongsikan cara untuk mengetahui keberadaan lubuk kupang, ia memerlukan penyelaman sambil menyentuh permukaan tanah yang rasanya seakan-akan permukaan tikar.
Bukan itu sahaja, untuk memastikan kupang terus membiak, hanya kupang-kupang yang besar sahaja yang diambil, sementara kupang kecil ditinggalkan.
Beliau yang berasal dari Kampung Sungai Pandan bukan saja mencari rezeki dengan mencari kupang, malah beliau juga melakukan kerja menangkap ikan seperti merawai, memancing dan juga memukat.
Pada kebiasaannya, beliau akan turun ke laut melakukan aktiviti mencari kupang bermula pukul 9 pagi hingga 4 petang dan waktu untuk mencari kupang ini juga bergantung kepada keadaan air, jika air ‘tuhur’ hingga paras dada barulah mudah untuk mencari kupang.
Selain berkongsi nasihat, bagi yang ingin mencuba untuk mencari kupang hendaklah memastikan tidak mempunyai alahan terhadap air laut dan pandai berenang, kerana ia memerlukan penyelaman untuk mendapatkan kupang, kerana arus laut yang tidak menentu.
Sementara itu, salah seorang pelanggan yang membeli kupang turut mengongsikan mempelbagaikan masakan kupang yang segar sama ada dengan merebus menggunakan serai dan halia, atau ada juga yang memasak kupang yang sudah dipisahkan dari kulitnya dengan membuat sambal kupang, kerana kupang yang segar rasanya manis.
Selain dimasak, kupang juga menjadi pilihan untuk dijadikan budu kupang yang mana ia akan dicampur dengan tauge, cili padi, kepayang dan airnya daripada beras yang telah dikisar halus.