AFGHANISTAN – Dikelilingi dengan pelbagai kertas warna yang terang dan batang-batang buluh, pembuat layang-layang, Halim Muhammadi dan anaknya yang duduk di ruang tamu mereka yang kecil di Kabul sedang sibuk memasang dan membuat layang-layang sebagai persediaan mereka untuk meraikan musim layang-layang di bandar tersebut.
Selepas berjaya menjual sekitar ratusan ribu layang-layang semasa musim sejuk yang lalu terutama pada musim bunga, menerbangkan layang-layang di musim ini adalah sangat ideal di mana pembuat layang-layang telah menghabiskan masa mereka selama setahun untuk menambah bekalan layang-layang mereka untuk dijual.
Pembuatan bagi satu layang-layang hanya mengambil masa beberapa minit sahaja.
Muhammadi yang berusia 50 tahun, memotong sekeping kertas lembut dan melakar corak yang berbentuk berlian serta melekatkannya pada bingkai buluh nipis di mana kemahirannya itu telah diasah sejak zaman kecil lagi.
Dia kemudiannya menurunkan ilmu pengetahuannya itu kepada dua orang anak perempuannya iaitu, Madina yang berusia 18 tahun dan Nigina yang berusia 15 tahun serta anak lelakinya, Shohaib yang berusia 14 tahun.


Justeru, anaknya-anaknya itu telah menghias dan membentuk setiap rangka layang-layang itu dengan ringkas dan membiarkannya kering di rumah mereka.
Aktiviti riadah terkenal
Lazimnya, musim sejuk adalah waktu yang sesuai untuk menerbangkan layang-layang dan akan berakhir pada musim bunga, di mana angin akan sentiasa bertiup pada bila-bila masa sepanjang tahun dan sudah cukup untuk menarik perhatian penduduk tempatan dari semua peringkat umur untuk naik ke bumbung, kawasan berbukit malah kawasan tanah perkuburan untuk menikmati salah satu aktiviti riadah tradisional yang terkenal di negara itu.
Dijual dengan harga serendah beberapa sen sahaja bagi setiap satu, layang-layang pada masa dahulu di negara miskin itu dijual dengan harga yang lebih murah.
Ia kemudiannya diharamkan semasa rejim pemerintahan Taliban yang menindas penduduk dari tahun 1996 sehingga tahun 2001, namun layang-layang semakin diminati dan terkenal selepas pencerobohan yang dipimpin oleh gerakan tentera Amerika Syarikat, yang membolehkan pembuat layang-layang seperti Muhammadi, membuka semula perniagaan mereka.
Budaya bermain layang-layang di Afghanistan telah menjadi terkenal disebabkan oleh seorang pengarang Afghan melalui karya novelnya yang bertajuk The Runner Kite yang dihasilkannya pada tahun 2003 dan menjadi salah sebuah novel yang terlaris sekali di dunia dan telah diadaptasikan menjadi sebuah filem.

Pertarungan hebat
Semasa musim layang-layang ini nanti, pertarungan sengit akan berlaku di antara pemain, di mana mereka akan menggunakan tali bersalut dengan kaca yang telah dihancurkan untuk memutuskan layang-layang yang lain, memastikan lebih banyak jualan untuk pembuat layang-layang.
“Seluruh keluarga saya, isteri dan anak-anak saya membuat layang-layang di rumah,” kata Masood yang berusia 40 tahun. Masood merupakan penjual layang-layang generasi kedua dan baru-baru ini ditemui AFP di kedainya di Shor Bazaar yang sibuk di kawasan bandar lama, Kabul.
“Semasa musim sejuk, kami telah menjual antara 100,000 hingga 300,000 layang-layang serta memperoleh sekitar 300,000 afghanis iaitu kira-kira AS$4,200 dalam tempoh tiga bulan,” tambahnya.
Di dalam sebuah kedai layang-layang yang sempit di Shor Bazaar, himpunan layang-layang membuktikan bahawa aktiviti sukan itu sangat diminati oleh penduduk Afghanistan.
“Orang ramai tergila-gila untuk bermain layang-layang di sini,” kata Pahlwan Karim, 65, di mana keluarganya telah membuat layang-layang selama hampir satu abad. Lambang kala jengking merupakan jenama bagi layang-layangnya, mengadaptasikan nama samaran abangnya yang juga membuat layang-layang. “Pasar ini menjual ratusan ribu layang-layang setiap hari pada musim sejuk,” jelasnya. – AFP