PARIS – Selepas menjadi bintang dalam kejayaan Piala Dunia bersama Perancis, Kylian Mbappe telah menjadi pemain yang paling menonjol dalam kempen Paris Saint-Germain meraih gelaran Ligue 1, namun sedikit terjejas di hujung-hujung.
PSG akhirnya melengkapkan gelaran hujung minggu lalu selepas pasukan tempat kedua, Lille gagal menewaskan Toulouse, setelah gagal memenangi tiga perlawanan terakhir ketika peluang untuk mengesahkan mahkota Perancis keenam dalam tujuh musim terhidang.
Kelab milik Qatar itu masih boleh menjulang gelaran domesti berganda, dengan final Piala Perancis bakal berlangsung hujung minggu ini, namun ia tidak akan dikenang sebagai tahun vintaj.
Sementara Neymar sekali lagi diketepikan kerana kecederaan di saat-saat genting, Edinson Cavani turut bergelut dengan kecergasan, dan jurulatih Thomas Tuchel kerap mengkritik kekurangan kualiti dalam skuadnya.
Kekalahan 5-1 minggu lalu di Lille merupakan kekalahan terburuk liga buat PSG sejak Qatar Sports Investments membeli kelab itu pada tahun 2011, dan pertama kali mereka melepaskan lima gol dalam liga sejak 2000.




Rekod 14 kemenangan berturut-turut di awal musim kini kelihatannya samar-samar, dengan kegagalan terbaharu dalam Liga Juara-Juara menyelubungi kempen pertama Tuchel.
Mbappe, sekurang-kurangnya mempamerkan aksi konsisten, membuktikan statusnya sebagai pemenang Piala Dunia dan jarang sekali direhatkan. Usianya baru memasuki 20 tahun Disember ini, tetapi kini sudah memenangi tiga gelaran Ligue 1 berturut-turut.
Mbappe menjaringkan 36 gol dari 40 perlawanan musim ini, dengan 30 gol bagi aksi liga. Apa yang menggerunkan, rakan sepasukannya, Daniel Alves memberitahu RMC baru-baru ini bahawa ” dia tidak sedar betapa bagus dirinya, dia mampu pergi lebih jauh.”
Dia juga tidak biasa dengan kekalahan, dan mungkin menyinggung rakan sepasukannya dengan kenyataan yang dibuatnya minggu lepas di Lille.
“Kami bermain seperti orang baru bermain,” katanya.
Juara tetapi rasa ‘kosong’
Sejujurnya PSG hebat dalam persaingan domestik. Bagaimanapun, masalahnya adalah selagi mereka gagal menjulang Liga Juara-Juara, kejayaan domestik bagi sebuah kelab yang disokong oleh sebuah negara Teluk akan terus dilihat ‘kosong’.
Gelaran terbayang-bayang buat seketika, namun musim mereka suram sejak penyingkiran kepada Manchester United dalam peringkat 16 terbaik.
Itu, digabungkan lagi dengan penyingkiran suku akhir Piala Liga, bermakna musim pertama Tuchel sebenarnya lebih teruk berbanding Unai Emery, jurulatih yang digantinya.
Bagaimanapun, menurut L’Equipe, Tuchel sudah bersetuju untuk melanjutkan kontraknya hingga 2021. Dengan tumpuan sudah beralih ke masa hadapan, dengan beberapa penandatanganan diperlukan di Parc des Princes.
Eksprimen mahal, Neymar tidak boleh dikatakan berjaya sehingga dia kekal cergas bagi perlawanan-perlawanan penting, dan akan sentiasa muncul spekulasi mengenai masa depannya.
“Kami mempunyai kontrak, kami belum separuh pun dari kontrak,” kata bapa Neymar kepada RMC Sport.
Masa untuk ‘tapisan?’
Mbappe pastinya pemain yang mereka tidak boleh lepaskan, tetapi sudah tiba masanya untuk perubahan di tempat lain?
Sebahagian daripada keterujaan di awal dekad sudah berakhir, digantikan dengan kebosanan. Hari-hari Thiago Silva, Edinson Cavani dan Marco Verratti mungkin sudah berakhir.
Youri Djorkaeff, pemenang Piala Dunia bersama Perancis dan bintang PSG pada tahun 1990an, menawarkan penilaian berterus-terang, mencadangkan perubahan sebenar diperlukan adalah di bahagian atasan.
“Jika anda tidak bagus dalam setiap bahagian, dari pemandu bas hingga kepada perempuan yang membersihkan baju anda, anda tidak akan pergi ke mana-mana,” katanya kepada Podcast Ligue 1, ‘Le Beau Jeu’.
“PSG, selepas bertahun-tahun tanpa kejayaan, perlu membina semula dari bawah kerana asasnya tidak bagus. Anda tidak boleh menjangkakan bahawa suatu hari anda akan memenangi Liga Juara-Juara tanpa asas-asas ini.”
Projek Qatar perlukan udara segar, dan semua mata kini tertumpu pada presiden Nasser al-Khelaifo dan pengarah sukan Antero Henrique.
Peraturan ‘Financial Fair Play’ UEFA masih menjadi masalah, dengan PSG dikatakan kekurangan 100 juta euro dan terpaksa menyerahkan bajet yang seimbang menjelang akhir Jun ini. Perkembangan beberapa bulan mendatang pastinya menarik untuk diikuti. – AFP