PARIS, 6 OGOS – Suhu melampau, kebakaran besar, banjir yang membawa maut pada awal bulan ini, namun musim panas 2025 telah pun dibelenggu cuaca yang ekstrem di wilayah utara.
“Peningkatan suhu dan hujan kerap berlaku pada peringkat global,” kata Sonia Seneviratne, seorang profesor di ETH Zurich dan ahli panel penasihat sains iklim Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, IPCC.
“Kami berada di tengah-tengah perubahan iklim,” beritahu Fred Hattermann, seorang saintis di Institut Penyelidikan Kesan Iklim (PIK) Potsdam, kepada AFP.
“Risiko kejadian ekstrem telah meningkat dengan ketara,” katanya sambil menyatakan bahawa 2024 adalah tahun pertama di mana purata suhu permukaan bumi adalah 1.6 darjah Celsius (C) di atas penanda aras praindustri.
Peningkatan secara perlahan itu memberikan perbezaan yang besar.

Suhu yang lebih tinggi meningkatkan penyejatan, supaya lebih banyak air disimpan di atmosfera. Ini seterusnya meningkatkan risiko hujan lebat dan banjir.
“Dengan setiap peningkatan suhu, risiko semakin bertambah dan cuaca lebih ekstrem,” tambah Hattermann.
Pada Mei, suhu melebihi 50 darjah Celsius di Emiriah Arab Bersatu. Pada 1 Ogos, termometer mencecah 51.8 darjah Celsius, di bawah rekod sepanjang masa 52 darjah Celsius.
Sementara itu, ibu negara Saudi, Riyadh mencatat suhu 44 darjah Celsius, manakala Kuwait mencecah 50 darjah Celsius. – AFP

