Thursday, October 10, 2024
29.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Musim panas ubah papan tanda kedai jadi seram

    SHIGA, 10 OKT – Sebuah kedai pakaian Jepun yang kecil telah menjadi tular selepas papan tandanya yang memaparkan gambar anak damit comel bertukar menjadi menyeramkan akibat panas terik dan cahaya matahari sejak beberapa tahun lalu.

    Menurut laporan Oddity Central,  sebuah kedai pakaian dan pelbagai barangan bernama Hangai di Nagahama City, Wilayah Shiga Jepun telah mempunyai papan tanda yang sama selama 10 tahun.

    Gambar seorang anak damit comel pada papan tanda tersebut dengan mesej “Kami menjual banyak barang yang baik dan murah” telah berubah wajah pada tahun lepas.

    Gambar asal papan tanda berkenaan.

    Sejak musim panas yang sangat panas, gambar berkenaan berubah menjadi menakutkan, dengan mata dan mulut anak damit menjadi hitam pekat akibat hangus dijemur pada panas terik dan cahaya matahari secara langsung.

    Wajah anak damit mula berubah.

    Keadaan menjadi lebih teruk tahun ini, selepas satu lagi musim panas yang terik. Anak damit yang dahulunya comel itu lebih menakutkan dengan seluruh wajahnya kini hitam gelap seolah-olah baru lepas dibakar hangus.

    Musim panas lalu, Masanao Itaya, pemilik Hangai memberitahu agensi berita Jepun FNN bahawa dia menyedari kerosakan pada papan tanda itu pada Ogos dan berhasrat untuk menukarnya kerana bimbang ia akan menakutkan pelanggan.

    Setelah suatu pesta memuja roh nenek moyang, Pesta Obon berlalu dan dia akhirnya mahu mengubahnya., Walau bagaimanapun, dia hairan apabila ramai pengunjung dari seluruh negara datang ke kedainya untuk melihat dan mengambil gambar papan tanda “anak damit yang dirasuk” itu. Jadi dia memutuskan bahawa menukarnya akan memudaratkan perniagaan.

    Bulan lepas selepas satu lagi musim panas yang memecahkan rekod, papan tanda itu sekali lagi menjadi tajuk utama berita di Jepun.Kali ini kawasan gelap di sekeliling mata dan mulutnya menjadi lebih besar dan tompok-tompok gelap mula muncul di pipi dan hidungnya, menjadikannya lebih menakutkan. Bagaimanapun, tidak diketahui sama ada Itaya akan menurunkannya atau dia akan terus memanfaatkan pengiklanan percuma kedainya di media sosial. – Agensi

    Proses perubahan wajah anak damit pada papan tanda berkenaan. – Oddity Central
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda