Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 SEPT – Musim durian kembali menyerikan suasana Pasar Pelbagai Barangan Gadong dengan kehadiran pelbagai jenis dan saiz raja buah yang sentiasa dinanti-nantikan oleh para penggemar tempatan.
Antara penjual yang turut memeriahkan musim kali ini ialah Dayang Mimi yang menawarkan pilihan durian premium dan tempatan antaranya D168, D88 Tembaga, D24, Musang King, Black Thorn. Sementara durian tempatan seperti durian udang galah, durian kuning, durian simpur, serta buah lain antaranya Tibadak Madu premium turut dijual.
Menurut beliau, sambutan daripada pelanggan amat menggalakkan sejak awal musim, lebih-lebih lagi dengan kehadiran pelbagai jenis durian yang menjadi rebutan ramai seperti Musang King dan Black Thorn.
“Alhamdulillah, ramai pelanggan yang datang bukan sahaja untuk durian tempatan, tetapi juga untuk mencuba pelbagai jenis durian dari luar yang kini semakin mendapat tempat di hati masyarakat,” jelasnya.
Beliau menambah, selain durian yang ditawarkan pada masa ini, lebih banyak buah-buahan lain dijangka akan menyusul dan memeriahkan lagi suasana pasar, khususnya sepanjang bulan September hingga Oktober, yang merupakan kemuncak musim durian di negara ini.
Kehadiran musim durian bukan sahaja membawa rezeki kepada para penjual, malah turut menghidupkan kembali suasana riang di Pasar Pelbagai Barangan Gadong yang menjadi tumpuan ramai setiap kali musim buah-buahan tempatan tiba.


