Oleh Nurdiyanah R.
BANDAR SERI BEGAWAN, 8 JAN – Musim tengkujuh di Negara Brunei Darussalam masih belum berakhir dan dijangka berlangsung sehingga sekitar hujung Januari ini.
Musim tengkujuh semasa fasa pertama monsun timur laut, sememangnya dikenali dengan keadaan cuaca yang lembap dan tidak menentu.
Lazimnya, hujan lebat atau ribut petir kerap berlaku hampir setiap hari semasa musim ini.
Menurut Artikel Cuaca Keluaran 01/2023 Musim Tengkujuh di Negara Brunei Darussalam yang dikeluarkan oleh Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam (BDMD), Kementerian Pengangkutan dan Infokomunkasi, kelmarin, antara faktor yang mengakibatkan keadaan berkenaan terjadi adalah pengaruh luruan angin sejuk dan juga sistem bertekanan rendah yang biasanya hadir di rantau ini.
Udara sejuk yang berasal dari Republik Rakyat China dan negara-negara berdekatan meluru ke kawasan berdekatan dengan khatulistiwa.
Luruan udara sejuk yang berinteraksi dengan sistem bertekanan rendah di rantau ini akan mendorong pembentukan awan hujan yang aktif. Luruan angin yang bertiup kuat dan konsisten juga boleh menyebabkan keadaan laut bergelora di Laut China Selatan termasuklah di perairan Negara Brunei Darussalam.
BDMD turut menjelaskan bahawa musim tengkujuh khususnya di bulan Disember dan Januari, mempunyai jumlah turunan hujan tertinggi secara purata berbanding bulan-bulan lain sepanjang tahun. Secara purata, Disember menerima jumlah turunan hujan sebanyak 360mm, manakala bagi Januari sebanyak 320mm.
Pada Disember lepas, stesen pencerapan cuaca di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei telah merekodkan jumlah turunan hujan sekitar 70 peratus lebih tinggi daripada jumlah turunan hujan yang biasanya dialami, iaitu sebanyak 605mm.
Salah satu faktor utama negara menerima turunan hujan yang berlebihan ini adalah disebabkan kesan fenomena La Nina yang sedang melanda seluruh dunia.
Turut dikongsikan ialah turunan hujan lebih daripada jumlah purata bagi Disember berkenaan telah diramalkan dan diberigakan kepada agensi-agensi yang berkepentingan dan juga orang ramai semasa Taklimat Cuaca Kebangsaan ke-18 pada hujung November 2022 yang lepas.