Wednesday, May 14, 2025
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Musim tengkujuh tingkat aktiviti menangkap ‘ikan darat’

    TANAH MERAH – Musim tengkujuh mungkin dianggap musibah, namun bagi yang gemar melakukan aktiviti menangkap ‘ikan darat’ atau ikan sungai di sini, musim tengkujuh membuka pintu rezeki, kerana limpahan air itu membawa bersama pelbagai spesies ikan seperti keli, puyu, baung, lampam, belut dan haruan.

    Pelbagai kaedah digunakan untuk menangkap ikan-ikan itu, antaranya menggunakan pukat, jala dan pancing.

    Tinjauan media di beberapa kawasan sawah padi di sini mendapati ramai yang melakukan aktiviti itu dan lebih menarik, hasil tangkapan mereka terus dijual kepada pembeli atau penggemar ikan darat yang sedia menunggu di tepi sawah.

    Bagi seorang peminat ikan sungai, Mohd Faizal Roshisyam Abdul Hamid, 42, dari Kampung Chawas di sini, setiap tahun beliau bersama rakannya akan melakukan aktiviti itu dengan menahan pukat di sawah.

    Mohd Faizal Roshisyam Abdul Hamid (kiri) bersama rakannya Syarikin Mat Napi, 36, mengutip ikan-ikan yang masuk ke dalam pukat di kawasan sawah padi di Kampung Chawas. – Bernama

    “Saya akan menahan pukat seawal pukul 7 pagi dan akan mengutip hasil tiga kali sehari iaitu pagi, tengah hari dan petang bagi mengelakkan ikan mati dan berbau busuk. Kebiasaan saya akan memperolehi hasil tangkapan antara 30 hingga 40 ekor ikan sehari dengan menggunakan pukat dan memperolehi saiz ikan yang berbeza-beza,” katanya.

    Mohd Faizal yang bekerja sebagai buruh binaan itu berkata hasil tangkapan itu akan dijual dengan harga RM15 hingga RM20 sekilogram bergantung kepada jenis ikan.

    Syarikin Mat Napi, 36, juga dari Kampung Chawas berkata aktiviti menahan pukat di kawasan sawah atau di laluan air pada musim tengkujuh sudah sebati dalam dirinya sejak 10 tahun lepas dan hobi itu mampu memberinya pendapatan sehingga RM200 sehari.

    “Ikan keli, lampam jawa dan baung dijual sekitar RM15 sekilogram manakala puyu, haruan pula antara RM10 hingga RM12 sekilogram bergantung kepada saiz ikan,” katanya.Beliau berkata sekiranya ikan-ikan itu dijadikan pekasam, ia akan dijual pada harga RM10 sebotol manakala ikan yang diperap dengan kunyit dan garam dijual pada harga RM2 setiap ekor, dan menurutnya sambutan yang diterima amat menggalakkan. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda