Saturday, July 12, 2025
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Musk akan tamatkan program kapal angkasa Dragon serta-merta

    WASHINGTON, 6 JUN – Ketua SpaceX, Elon Musk, kelmarin berkata beliau akan mula ‘menamatkan’ kapal angkasa Dragon milik syarikatnya – yang penting untuk membawa angkasawan NASA ke dan dari Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) – selepas Presiden AS Donald Trump mengancam untuk membatalkan kontrak kerajaan miliknya.

    “Berdasarkan kenyataan Presiden tentang pembatalan kontrak kerajaan saya, @SpaceX akan mula menamatkan kapal angkasa Dragon dengan serta-merta,” tulis Musk di platform X.

    Kenyataan itu – yang kemudian dilihat seperti ditarik balik oleh jutawan yang dikenali dengan sikap sukar dijangka itu – dibuat selepas pakatan politik antara Trump dan Musk yang berlangsung hampir setahun berakhir dengan perbalahan hebat, apabila kedua-duanya saling menghina secara terbuka di media sosial.

    Crew Dragon milik SpaceX – sebuah kapsul berbentuk gumdrop yang dilancarkan menggunakan roket Falcon 9 dan mendarat di laut – kini merupakan satu-satunya kapal angkasa AS yang disahkan membawa kru ke ISS di bawah kontrak bernilai lebih AS$4.9 bilion.

    Satu lagi versi, Cargo Dragon, digunakan untuk menghantar bekalan, seperti yang tertera pada namanya.

    Selepas pengumuman Musk, jurucakap NASA Bethany Stevens menulis di X bahawa agensi angkasa kerajaan itu akan ‘terus melaksanakan visi presiden untuk masa depan angkasa lepas.’

    “Kami akan terus bekerjasama dengan rakan industri kami untuk memastikan objektif Presiden dalam sektor angkasa tercapai,” katanya. – AFP

    Roket SpaceX Falcon 9 dengan kapsul Crew Dragon yang membawa misi Crew-10 berlepas dari Kompleks Pelancaran 39A di Pusat Angkasa Kennedy NASA di Florida pada 14 Mac lalu. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda