BEIJING, 30 MEI – Elon Musk hari ini bertemu Menteri Luar China, Qin Gang di Beijing, kata kementerian itu, ketika CEO Tesla memulakan perjalanan pertamanya ke China dalam tempoh lebih tiga tahun.
China ialah pasaran kenderaan elektrik terbesar di dunia dan Tesla mengumumkan pada April ia akan membina kilang besar kedua di Shanghai.
Qin memberitahu Musk bahawa China ‘komited untuk mewujudkan persekitaran perniagaan yang berorientasikan pasaran, berasaskan peraturan dan antarabangsa yang lebih baik’ untuk perusahaan asing, kata kementeriannya di laman webnya.
Musk berkata sebagai tindak balas, “Tesla menentang pengasingan dan pemutusan rantaian’, dan bersedia untuk terus mengembangkan perniagaannya di China,” menurut keterangan kementerian itu.
Hubungan Musk dengan China telah menimbulkan keresahan di Washington, dengan Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden berkata pada November hubungan eksekutif itu dengan negara asing ‘wajar’ diteliti.
Hari ini, Qin dan Musk membincangkan hubungan antara China dan Amerika Syarikat, menurut Beijing, dengan menteri luar China berkata kedua-dua negara harus ‘menggunakan brek tepat pada masanya untuk mengelakkan pemanduan berbahaya’.
Kilang bateri yang diumumkan pada bulan April akan menjadi kilang kedua Tesla di Shanghai selepas Gigafactory, yang mula beroperasi pada 2019.
Kilang baharu itu, yang akan mempunyai kapasiti awal 10,000 unit Megapack setahun, dijangka ‘memulakan pengeluaran pada suku kedua 2024’, menurut agensi berita Xinhua. – AFP