Monday, November 25, 2024
29.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Musk cetus kontroversi dasar migran Itali

    ROME, 13 NOV – Selepas menyifatkan Canselor Jerman sebagai ‘bodoh’, bilionair Elon Musk kelmarin mencetuskan kontroversi dalam perdebatan hangat mengenai dasar migran kerajaan berhaluan kanan Itali, sehingga menimbulkan kemarahan dalam kalangan peguam dan pihak pembangkang.

    Pada Isnin, hakim menolak penahanan kumpulan kedua migran yang dipindahkan ke pusat kendalian Itali di Albania, dan merujuk kes berkenaan kepada Mahkamah Keadilan Eropah (ECJ).

    Pemindahan awal migran ke pusat tersebut pada bulan lalu turut disekat oleh hakim, berdasarkan keputusan terkini ECJ yang mempersoalkan pendekatan Itali dalam menentukan negara sebagai ‘selamat’ untuk penghantaran pulang migran.

    “Para hakim ini perlu disingkirkan,” komen Musk, individu terkaya di dunia yang memainkan peranan utama dalam pemilihan semula Donald Trump sebagai Presiden Amerika Syarikat, di rangkaian sosial X miliknya.

    Timbalan Perdana Menteri Itali, Matteo Salvini, pemimpin parti Liga berhaluan kanan dan anti-migran, memberi respons dalam Bahasa Inggeris: “Elon Musk betul.”

    Bagaimanapun, Parti Demokratik berhaluan kiri-tengah menyifatkan komen Musk sebagai ‘campur tangan yang tidak dapat diterima’ dalam hal ehwal Itali.

    Peguam Ernesto Carbone, ahli Majlis Tinggi Kehakiman, mengecam Musk sebagai salah seorang daripada ‘oligarki baharu’ yang bercita-cita untuk ‘mengawal politik dunia dan menjadi ancaman kepada demokrasi.’

    Persatuan Majistret Kebangsaan Itali turut terkejut terhadap campur tangan tokoh teknologi itu.

    “Isu ini bukan lagi mengenai kebebasan kehakiman, tetapi kedaulatan negara Itali,” kata Naib Presiden persatuan itu, Alessandra Maddalena. – AFP

    Gambar AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda