WASHINGTON, 30 Sept – Elon Musk (gambar bawah) telah mencapai satu perjanjian berhubung dakwaan penipuan yang akan melihat beliau meletak jawatan sebagai pengerusi lembaga pengeluar kereta elektrik Tesla dan membayar denda berjumlah AS$20 juta.
Namun akan kekal memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), kata pengawal selia sekuriti Amerika Syarikat (AS) semalam.
Perjanjian tersebut mengurangkan tekanan ke atas CEO Tesla, yang menghadapi kemungkinan dilarang daripada menjadi seorang pegawai atau anggota lembaga sebuah syarikat awam hasil daripada dakwaan tersebut, yang berpunca daripada kenyataan beliau di Twitter untuk menswastakan syarikat berkenaan.
“Penyelesaian itu, yang tertakluk kepada kelulusan mahkamah, akan mengakibatkan perubahan pentadbiran korporat menyeluruh dan pembaharuan lain di Tesla, termasuk pemecatan Musk sebagai pengerusi lembaga Tesla, dan bayaran penalti kewangan sebanyak AS$20 juta oleh Musk dan juga Tesla,” kata Suruhanjaya Sekuriti dan Tukaran dalam satu kenyataan.
SEC telah mendakwa Musk dengan penipuan sekuriti, mendakwa beliau mengelirukan pelabur apabila beliau menulis di Twitter pada 7 Ogos bahawa beliau telah ‘mendapatkan pembiayaan’ untuk menswastakan pengeluar kereta elektrik pada AS$420 sesaham.
Ia telah mengakibatkan kenaikan sementara dalam harga saham Tesla, mendorong penjual, yang membuat pertaruhan saham akan merosot selama beberapa tahun, kerugian berjuta-juta dolar.
SEC berkata kenyataan Musk di Twitter adalah ‘palsu dan mengelirukan’ dan beliau tidak pernah membincang rancangan tersebut bersama pegawai syarikat atau pembiaya kewangan berpotensi.
Musk berkata beliau memutuskan tidak meneruskan dengan pelan berkenaan selepas itu.
“Apabila syarikat dan orang dalam korporat membuat kenyataan, mereka mesti bertindak dengan penuh tanggungjawab,” kata Pengerusi SEC Jay Clayton.
Di bawah perjanjian itu, yang dikatakan oleh Clayton “demi kepentingan terbaik pasaran kami dan pelabur kami, termasuk pemegang saham Tesla,” Musk tidak layak memegang jawatan sebagai pengerusi lembaga untuk tempoh tiga tahun dan akan diganti oleh seorang “pengerusi bebas,” menurut SEC. – AFP