Sunday, May 11, 2025
27.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Musk jual saham Tesla AS$7 bilion

    WASHINGTON, 10 OGOS – Elon Musk telah menjual saham Tesla bernilai hampir AS$7 bilion, menurut fail mahkamah yang disiarkan semalam, di tengah tindakan guaman dengan Twitter berhubung perjanjian pembelian bernilai AS$44 bilion.

    Bos Tesla itu menjual kira-kira 7.9 juta saham di antara 5 dan 9 Ogos, menurut fail yang disiarkan di laman web Suruhanjaya Sekuriti dan Tukaran.

    “Sekiranya Twitter memaksa perjanjian ini dimuktamadkan dan beberapa rakan ekuiti gagal mencapai persetujuan, adalah penting untuk mengelak satu penjualan kecemasan saham Tesla,” kata Musk, lelaki terkaya dunia, di Twitter lewat semalam.

    Twitter terbabit dalam tuntutan mahkamah dengan bos Tesla disebabkan usaha Musk untuk menarik diri daripada perjanjian untuk membeli syarikat itu pada April, dan seorang hakim telah mengarahkan perbicaraan diadakan pada Oktober.

    Musk telah memfailkan tindakan balas, menuduh Twitter menipu dan mendakwa platform media sosial itu mengelirukan beliau mengenai aspek utama perniagaannya sebelum beliau bersetuju dengan pembelian bernilai AS$44 bilion itu.

    Tindakan diambil selepas Musk menjual kira-kira AS$8.5 bilion saham dalam syarikat pengeluaran kereta elektrik itu pada April ketika beliau bersedia membiayai pembelian Twitter. Beliau berkata di Twitter pada masa itu: “Tiada penjualan TSLA lanjut dirancang selepas hari ini.” – AFP

    Gambar fail menunjukkan CEO Tesla, Elon Musk bercakap kepada media ketika beliau tiba untuk melawat tapak pembinaan kilang kereta elektrik Tesla di Gruenheide, berdekatan Berlin. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda