Sunday, July 13, 2025
27 C
Brunei

    Berita Terkini

    Musk kecam rang undang-undang cukai, perbelanjaan Trump

    WASHINGTON, 4 JUN – Beberapa hari selepas berundur dari Washington, usahawan teknologi Elon Musk mengkritik rang undang-undang cukai dan perbelanjaan utama Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, lapor Agensi Berita Jerman, dpa.

    Menerusi catatan di platform X, Musk menyifatkan rang undang-undang itu sebagai “satu kehinaan menjijikkan” dan mendakwa ia akan melonjakkan lagi defisit bajet negara yang sudah pun besar kepada AS$2.5 trilion, selain membebankan rakyat AS dengan hutang yang sangat tidak lestari.

    Bil berkenaan, yang digelar Trump sebagai ‘Big Beautiful Bill’, diluluskan di Dewan Perwakilan pada Mei lalu dengan majoriti tipis.

    Bagaimanapun, beberapa anggota Parti Republikan sendiri menentangnya di peringkat Senat kerana tidak bersetuju dengan cadangan peningkatan siling hutang dan menuntut pemotongan perbelanjaan yang lebih ketara.

    Setiausaha Akhbar Rumah Putih, Karoline Leavitt berkata, “Presiden sudah pun maklum tentang pendirian Elon Musk terhadap bil ini. Ia tidak mengubah pandangan beliau.

    Elon Musk memerhati semasa sidang media bersama Presiden AS, Donald Trump di Pejabat Oval, Rumah Putih di Washington, DC, pada 30 Mei. – AFP

    “Ini adalah satu rang undang-undang yang besar dan indah dan beliau tetap akan mempertahankannya.”

    Rang undang-undang itu bertujuan melanjutkan potongan cukai yang diperkenalkan semasa penggal pertama Trump secara kekal.

    Ia akan dibiayai menerusi pemotongan bantuan sosial, yang kini mendapat tentangan hebat daripada pihak Demokrat.

    Musk sebelum ini menyumbang lebih AS$250 juta kepada kempen pilihan raya Trump dan pernah menjadi antara penasihat rapat presiden itu.

    Ketika mengumumkan pengundurannya dari Washington, Musk merujuk kepada peraturan yang mengehadkan tempoh khidmat kontraktor luar kerajaan kepada 130 hari setahun. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda