NEW YORK, 23 APRIL – Elon Musk umumkan bahawa dia akan kurangkan dengan ketara kerja pentadbiran bersama Trump pada Mei untuk memberi tumpuan kepada Tesla,
Pengumuman berkenaan dibuat kelmarin selepas pembuat kenderaan elektrik (EV) itu melaporkan penurunan 71 peratus dalam keuntungan suku pertama.
“Mungkin pada bulan depan, peruntukan masa saya kepada DOGE akan menurun dengan ketara,” kata Musk, merujuk kepada kerjanya untuk ‘Jabatan Kecekapan Kerajaan’ atau DOGE.
Komen itu dibuat ketika Tesla melaporkan keuntungan sebanyak AS$409 juta berikutan penurunan dalam jualan akibat kerosakan jenama setelah penglibatan Musk dalam tindakan Donald Trump mengurangkan tenaga kerja persekutuan AS, menurut penganalisis.
Dari segi positif, Tesla berkata ia berada di landasan untuk melancarkan kenderaan baharu, “termasuk lebih banyak model mampu milik” pada separuh pertama 2025.
Tesla juga mengesahkan dalam kenyataan akhbar bahawa rancangan pelancaran Robotaxi untuk pemanduan autonomi di Texas kekal “di landasan” menjelang Jun.
Sejak Trump kembali ke Rumah Putih, Tesla telah disasarkan untuk boikot dan vandalisme manakala jualan telah jatuh merentasi banyak pasaran dan harga Tesla yang terpakai telah turut menjunam menandakan jenama berkenaan semakin tidak popular.
Selain itu, Musk turut berkata bahawa kerjanya dengan DOGE, “sebahagian besarnya telah selesai,” sambil menambah dia tidak akan meninggalkan kerja kerajaan sepenuhnya.
“Saya fikir saya akan terus menghabiskan satu atau dua hari seminggu untuk urusan kerajaan, atau selagi presiden mahu saya berbuat demikian, dan selagi ia berguna,” kata Musk.
“Tetapi mulai bulan depan, saya akan memperuntukkan lebih banyak masa kepada Tesla.” – AFP
