SAN FRANCISCO, 18 FEB – Syarikat kecerdasan buatan (AI) milik Elon Musk kelmarin memperkenalkan versi terbaharu chatbot mereka, Grok 3, yang diharapkan oleh jutawan itu akan mendapat tempat di pasaran yang amat kompetitif, justeru bersaing dengan ChatGPT dan DeepSeek dari China.
Pelancaran diadakan ketika Elon Musk menggunakan kuasa besar yang diberikan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump untuk menyusun semula dan membubarkan agensi-agensi persekutuan.
Langkah drastik itu menimbulkan persoalan mengenai konflik kepentingan, memandangkan banyak agensi tersebut mempunyai pengawasan kawal selia ke atas elemen-elemen empayar perniagaan Musk yang luas.
“Grok adalah untuk memahami alam semesta,” kata Musk pada permulaan pelancaran Grok 3.
“Kami didorong oleh rasa ingin tahu tentang sifat alam semesta, itulah juga yang menyebabkan kami menjadi AI untuk mencari kebenaran, walaupun kadangkala kebenaran itu bertentangan dengan apa yang dianggap betul dari segi politik.”

Musk telah mengiklankan Grok 3 sebagai ‘AI paling pintar’, dengan 10 kali ganda berbanding pendahulunya yang dilancarkan pada Ogos tahun lalu.
Produk utama syarikat xAI itu dilatih menggunakan data sintetik dan menggunakan mekanisme pembetulan diri yang mengelakkan ralat, yang dikenali sebagai ‘halusinasi’ yang sering dialami oleh beberapa chatbot AI, di mana mereka memproses data palsu atau mengelirukan sebagai fakta.
“Grok 3 mempunyai kemampuan pemikiran yang sangat kuat, jadi dalam ujian yang telah kami lakukan setakat ini, Grok 3 mengatasi segala yang telah dilancarkan, yang kami tahu, itu adalah petanda yang baik,” kata Musk dalam satu panggilan video minggu lalu pada Sidang Kemuncak Kerajaan di Dubai.
Grok 3 akan tersedia terlebih dahulu untuk pelanggan yang melanggan Premium+ di X sebelum ia dilancarkan kepada pengguna lain. – AFP