WASHINGTON, 12 OGOS – Pemilik SpaceX, Tesla dan X, Elon Musk berkata beliau merancang untuk menyaman Apple kerana tidak memaparkan aplikasi X dan aplikasi chatbot kecerdasan buatan (AI) Grok dalam senarai aplikasi cadangan utama di App Store milik syarikat itu.
Musk memuat naik kenyataan tersebut di X kelmarin, dengan berkata, “Hey @Apple App Store, kenapa awda enggan meletakkan X atau Grok dalam bahagian ‘Must Have’ sedangkan X adalah aplikasi berita nombor satu di dunia dan Grok berada di tangga kelima bagi semua aplikasi? Adakah awda bermain politik? Apa masalahnya? Orang ramai ingin tahu.”
Grok dimiliki oleh syarikat permulaan AI milik Musk, xAI.
Musk turut mendakwa bahawa ‘Apple bertindak dengan cara yang menjadikan mustahil bagi mana-mana syarikat AI selain OpenAI untuk mencapai kedudukan nombor satu di App Store, dan ini jelas merupakan pelanggaran undang-undang antipersaingan. xAI akan mengambil tindakan undang-undang segera.”
Beliau tidak memberikan butiran lanjut.

Tidak adanya komen daripada Apple, yang dalam beberapa tahun kebelakangan ini berdepan pelbagai tuduhan melanggar undang-undang antipersaingan.
Baru-baru ini, seorang hakim persekutuan mendapati Apple melanggar perintah injunksi mahkamah dalam kes antipersaingan yang difailkan oleh pembuat permainan Fortnite, Epic Games.
Pada April lalu, pengawal selia Kesatuan Eropah (EU) yang terdiri daripada 27 negara mengenakan denda sebanyak 500 juta euro ke atas Apple kerana melanggar peraturan persaingan dengan menghalang pencipta aplikasi daripada mengarahkan pengguna
ke pilihan yang lebih murah di luar App Store.
Tahun lalu, EU mengenakan denda hampir AS$2 bilion terhadap gergasi teknologi AS itu kerana didakwa memihak secara tidak adil kepada perkhidmatan penstriman muziknya sendiri dengan menghalang pesaing seperti Spotify daripada memberitahu pengguna bagaimana mereka boleh membayar langganan yang lebih murah di luar aplikasi iPhone.
Sehingga hari ini, aplikasi teratas di App Store Apple ialah TikTok, diikuti oleh Tinder, Duolingo, YouTube dan Bumble.
ChatGPT milik OpenAI berada di kedudukan ketujuh. – AP

