MOSCOW, 11 MAC – Jutawan dan usahawan Amerika Syarikat (AS), Elon Musk, yang memiliki Tesla dan SpaceX, mengalami kerugian AS$29 bilion dalam tempoh semalaman selepas saham Tesla menjunam, menurut Indeks Jutawan Bloomberg (BBI) hari ini, lapor Sputnik/RIA Novosti.
Kelmarin, saham syarikat pengeluar kereta elektrik itu merosot 15.4 peratus kepada AS$222.15. Pada akhir 2024, harga saham Tesla bernilai AS$403.84, bermakna harga sahamnya susut 1.8 kali ganda sejak awal tahun ini.
Nilai kekayaan bersih Musk menurun secara mendadak sebanyak AS$29 bilion kepada AS$301 bilion. Sejak awal tahun ini, jutawan itu kehilangan 30.5 peratus daripada kekayaannya, atau kira-kira AS$132 bilion, menurut data BBI. Kekayaan Musk mencapai paras tertinggi pada Disember tahun lalu, berjumlah AS$486 bilion.
Walaupun mengalami penurunan kekayaan, Musk masih mengekalkan kedudukan teratas sebagai individu terkaya di dunia, diikuti oleh pengasas Amazon, Jeff Bezos dengan kekayaan AS$216 bilion dan pengasas Meta (yang diharamkan di Rusia sebagai ekstremis), Mark Zuckerberg dengan kekayaan bernilai AS$211 bilion.
Presiden AS Donald Trump, menyatakan sokongannya kepada Musk dengan membeli sebuah kereta Tesla baharu.
“Dalam apa jua keadaan, saya akan membeli sebuah Tesla baharu esok pagi sebagai tanda keyakinan dan sokongan kepada Elon Musk, seorang rakyat Amerika yang benar-benar hebat,” kata Trump di Truth Social.
Tesla Motors ditubuhkan pada 2003 sebagai syarikat pembangunan dan pengeluar kenderaan elektrik serta teknologi berkaitan. Syarikat itu juga menghasilkan bateri dan motor elektrik menggunakan teknologi sendiri dan menjualnya kepada syarikat automotif lain, termasuk Toyota dan Daimler.- Bernama
