LOS ANGELES, 6 JULAI – Jutawan teknologi Elon Musk kelmarin mengumumkan penubuhan ‘Parti Amerika’, yang menurutnya bertujuan mengembalikan kebebasan rakyat, susulan keputusan tinjauan pendapat dalam talian yang menunjukkan sokongan kuat terhadap kewujudan kuasa politik baharu, lapor Xinhua.
“Hari Kemerdekaan merupakan masa terbaik untuk bertanya sama ada awda mahukan kebebasan daripada sistem dua parti (yang sesetengah anggap sebagai satu parti tunggal),” tulis Musk dalam hantaran pada Jumaat ketika melancarkan tinjauan itu.
Lebih 65 peratus daripada 1.2 juta responden menyokong idea berkenaan.
Sebagai reaksi kepada keputusan itu, Musk menulis kelmarin, “Dengan nisbah 2 kepada 1, awda mahukan parti politik baharu dan awda akan dapatkannya! Apabila negara kita dibebani pembaziran dan penyelewengan, kita sebenarnya hidup dalam sistem satu parti, bukan demokrasi.”
Menurut Musk, Parti Amerika akan memberi tumpuan khusus kepada dua atau tiga kerusi Senat dan antara lapan hingga 10 kerusi di Dewan Perwakilan strategi yang dilihat berpotensi mempengaruhi keseimbangan kuasa dalam Kongres yang kini terbahagi secara hampir seimbang.
Namun, pakar undang-undang pilihan raya menegaskan bahawa kemasukan parti baharu berdepan halangan tinggi. Di California, sebagai contoh, penganjur perlu mendaftarkan sekitar 75,000 ahli atau mengumpulkan 1.1 juta tandatangan untuk melayakkan parti muncul di kertas undi.
Penganalisis politik pula berpandangan bahawa langkah Musk mungkin lebih bersifat tekanan terhadap penggubal undang-undang berbanding usaha membina parti ketiga yang berdaya tahan. – Bernama


