Saturday, December 28, 2024
22.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Muslim Burmat tokoh negara

    Oleh Imelda Groves HA

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Jan – Fakulti Sastera dan Sains Sosial (FASS), Universiti Brunei Darussalam (UBD), hari ini, telah mengendalikan simposium ‘Menghargai Sumbangan Muslim Burmat dalam Dunia Kreatif’ yang berlangsung di Institut Kepimpinan, Inovasi dan Kemajuan (ILIA), UBD, di sini.

    Pelancaran simposium sehari berkenaan telah disempurnakan oleh Dekan FASS, Dr. Hajah Asiyah Az-Zahra binti Haji Ahmad Kumpoh.

    Dalam ucapan alu-aluannya, Dr. Hajah Asiyah Az-Zahra menjelaskan bahawa simposium tersebut adalah mengenai seorang tokoh, penulis mapan dan penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara yang pertama bagi Negara Brunei Darussalam iaitu Dato Paduka Haji Muslim bin Haji Burut yang terkenal dengan nama pena Muslim Burmat dalam penulisannya.

    “Beliau merupakan seorang penulis yang prolifik dan produktif, segala hasil penulisan beliau, baik dalam genre cerpen atau novel, telah diguna pakai di peringkat sekolah menengah, pra-universiti, institusi pengajian tinggi, dikaji oleh sarjana tempatan serta penggiat dan peminat sastera,” katanya.

    Tambahnya lagi, Muslim Burmat telah berjaya menghasilkan sebanyak 17 buah novel yang membicarakan pelbagai isu yang menyentuh tentang agama, budaya, ekonomi, sejarah dan banyak lagi.

    Antara yang hadir pada majlis pelancaran simposium tersebut.
    Dekan FASS ketika menyampaikan ucapan alu-aluan dan seterusnya melancarkan pembukaan rasmi simposium sehari tersebut.
    Dr. Hajah Aini ketika menyampaikan pembentangan kertas kerjanya pada sesi pertama.

    Muslim Burmat juga pernah menjadi felow di Jabatan Kesusasteraan Melayu sekitar tahun 1996 hingga tahun 1999 dan berjaya menghasilkan sebuah novel berjudul ‘Urih Pesisir’ yang diterbitkan oleh UBD pada tahun 1999.

    “Dalam hubungan ini, kita amat berbangga hasil karya beliau juga dikaji dan diperkatakan oleh para sarjana luar negeri. Karya beliau banyak memberi impak kepada perkembangan ilmu pengetahuan khususnya dalam karya kreatif dan way of life orang Brunei,” jelasnya. Justeru, tambah beliau, dalam menghargai jasa beliau dalam dunia penulisan, FASS dengan amat berbesar hati untuk menganjurkan simposium berkenaan.

    Simposium berkenaan menyaksikan beberapa pembentangan kertas kerja yang berkaitan dengan karya-karya Muslim Burmat di bawah tiga tajuk utama iaitu ‘Nilai dan Pendidikan’ pada sesi pertama, ‘Kesusasteraan Bandingan’ pada sesi kedua dan ‘Sejarah’ pada sesi ketiga. Pada sesi pertama, Dr. Hajah Aini binti Haji Karim membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Dialog dan Pemanifestasian Budaya Tempatan & Pendidikan: Analisis Novel ‘Di Sini Pohon-pohon Berlari’ diikuti oleh Dayang Ena Herni binti Wasli dan Dayangku Norsafiah binti Pengiran Sapudin dengan tajuk ‘Penerapan Nilai Pendidikan Dalam Cerita Kanak-kanak Pilihan, Karya Muslim Burmat’ dan diakhiri dengan pembentangan kertas kerja oleh Dr. Haji Ramlee bin Haji Tinkong dengan tajuknya ‘Citra Keislaman dalam Novel Hadiah Sebuah Impian’ juga karya Muslim Burmat.

    Sesi kedua pula menyaksikan pembentangan kertas kerja oleh Haji Kamis bin Tuah, Awang Syawal Nizam Yani, Dr. Maslin bin Jukim, Dr. Rinni Amran dan Dr. Hannah Ho.

    Sementara itu, pada sesi ketiga pula, kertas-kertas kerja di bawah tajuk ‘Sejarah’ pula disampaikan oleh Dr. Nani Suryani binti Haji Abu Bakar, Profesor Madya Ampuan Dr. Haji Brahim bin Ampuan Haji Tengah, Profesor Madya Dr. Haji Asbol bin Haji Mail dan Dr. Frank Dhont.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda