Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Muslimah Indonesia kenali budaya Brunei

    Oleh Salawati Haji Yahya – 

    TUTONG, 23 JULAI – Seramai 69 ahli Muslimah Yayasan Kejayaan Mualaf Indonesia dari Dewan Taklim Mualaf Kalimantan Barat telah mengadakan program jelajah ke negara ini menerusi misi Lawatan Dakwah silaturahim, baru-baru ini.

    Semasa lawatan ke Daerah Tutong, rombongan diketuai oleh Ketua Yayasan Kejayaan Mualaf Indonesia dan Lembaga Majlis Taklim Mualaf Kalimantan Barat, Muhammad Damanhuri, SHI, SH, M Pd bersama perwakilan dari Kesultanan Pontianak, Syarifah Rayati Alqadrie.

    Antara lain tujuan lawatan itu adalah untuk bertukar pengetahuan dalam bidang dakwah selain menjalin kerjasama dalam bidang ekonomi, mengkaji kemajuan dan perkembangan dalam aspek pengajaran dan pembelajaran kepada mualaf.

    Semasa temu bual bersama ketua rombongan, Muhammad Damanhuri menjelaskan tujuan lawatan itu adalah untuk bertukar-tukar maklumat bersama penduduk Daerah Tutong dan memberi peluang kepada mereka bagi membimbing para mualaf dalam memahami agama Islam dengan lebih baik lagi.

    “Kunjungan ini juga menzahirkan rasa pemedulian bersama melalui tiga elemen penting iaitu membimbing, menerangkan dan menyampaikan,” tambahnya.

    Dalam misi itu, rombongan juga berpeluang menikmati pemandangan Pantai Seri Kenangan dan berkunjung ke Rumah Peranginan yang dibina dari kontena yang dimiliki oleh Awang Khairul Salleh bin Haji Kamaluddin dan diperkenalkan dengan kuih muih Melayu Brunei antaranya kusui, seri muka dan wajid.

    Terdahulu, rombongan juga berpeluang menyertai Sambutan Ilal Hijrah yang berlangsung di Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong, selain membuat lawatan ke Pusat Dakwah Islamiah Brunei, Muzium Teknologi Melayu Brunei, Muzium Alat Kebesaran Diraja Brunei dan Makam Sultan Bolkiah.

    Rombongan Muslimah Yayasan Kejayaan Mualaf Indonesia semasa mencuba kuih muih Melayu Brunei. – Gambar oleh Daniel Lim
    Rombongan Indonesia semasa melawat ke Pantai Seri Kenangan. – Gambar oleh Daniel Lim

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...