Oleh Ak Zaki Kasharan
TUTONG, 2 OGOS – Dengan pungutan markah 92 peratus, Muslimah Masjid RPN Bukit Beruang muncul juara dalam Pertandingan Membaca Al-Quran Berserta Tadabbur untuk Muslimah Masjid Seluruh Negara Peringkat Daerah Tutong bagi Tahun 1443H/2022M.
Dalam pertandingan yang berlangsung di Masjid Kampung Penanjong, hari ini, tempat kedua dan ketiga masing-masing disandang oleh Muslimah Masjid Pengiran Muda Abdul Wakeel Kiudang dan Muslimah Masjid Kampung Penabai.
Ketiga-tiga pemenang tersebut layak mara ke Peringkat Akhir Pertandingan Membaca Al-Quran Berserta Tadabbur bagi Muslimah Masjid Seluruh Negara yang akan berlangsung tidak lama lagi.
Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang ialah Ketua Bahagian Hal Ehwal Muslimah, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Dayang Noraini Yanti binti Haji Hussin.
Pertandingan tersebut dianjurkan oleh Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui Bahagian Hal Ehwal Muslimah dengan kerjasama Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Penanjong.
Antara tujuan pertandingan adalah untuk memberi peluang kepada Muslimah mempamerkan bakat dan kebolehan mereka dalam menyampaikan tilawah Al-Quran dan tadabburnya, pada masa yang sama memberi pendedahan kepada para Muslimah agar berani tampil di khalayak ramai dalam menyampaikan bacaan Al-Quran dan mentadabbur bacaan tersebut.
Di samping itu, ia juga mendidik para Muslimah untuk meneliti serta menghayati kandungan yang terdapat dalam kitab suci Al-Quran serta mengambil pengajaran daripadanya.
Pertandingan itu juga dihasratkan menyuntik semangat dalam jiwa Muslimah untuk menyampaikan ilmu agama yang bermanfaat, nasihat dan teguran secara berhemah demi kebaikan dan manfaat kepada keluarga, teman dan masyarakat umumnya melalui kandungan ayat-ayat suci Al-Quran.
