SINGAPURA – Bertugas sebagai concierge di sebuah firma memerlukan Zainab Ash Shughra Amer bijak berinteraksi dan melayan pelbagai permintaan daripada pelanggan.
Namun, tamat waktu pejabat, wanita berusia 39 tahun ini akan melangkah ke ‘dunia bertentangan’ yang diselubungi kesuraman dan keinsafan, bertempat di sebuah bilik dengan suhu jauh lebih dingin berbanding kelaziman.
Tidak ada keriuhan menemani beliau dan pembantunya, kecuali dengungan sebuah mesin.
Di depan mereka, sekujur tubuh bertutup kain terbaring di atas meja keluli. Sekali-sekala, beliau akan melontarkan ungkapan ‘maaf’ sambil matanya meneliti tubuh yang kulitnya pucat bertukar menjadi kemerah-merahan, mengetahui bahawa empunya jasad sudah meninggal beberapa jam lalu.
MUSLIMAH PERINTIS
Zainab adalah Muslimah pertama yang menjadi pengawet jenazah di Singapura.
“Masa kecil dulu saya bercita-cita nak jadi deejay,” katanya sambil ketawa, menjelaskan sikap beliau yang suka berceloteh.
Setelah memulakan kerjaya sebagai pengawet jenazah bertauliah, beliau mendapati jadual hariannya sangat padat, terutamanya ketika menguruskan jenazah pelancong kesihatan dan pekerja domestik dari negara jiran yang dihantar pulang ke negara asal.
“Kadang-kadang, saya menguruskan tiga jenazah dalam satu malam,” jelasnya. Beliau juga terlibat dalam pengurusan jenazah yang tidak lengkap, seperti anggota tubuh yang diamputasi, yang turut memerlukan perhatian.
JAGA AIB JENAZAH
Zainab mengakui bidang ini menuntut kecekalan hati, empati dan keinsafan tinggi. Beliau sentiasa berhati-hati dan berlemah lembut ketika menguruskan jenazah, kerana setiap sentuhan boleh menyakiti jasad seperti semasa hayatnya.
Oleh itu, beliau selalu meminta maaf dan memastikan jenazah ditutup kain sepanjang masa, menjaga aib mereka.
Sebelum menjadi pengawet jenazah, Zainab tidak tahu tentang pengawetan jenazah dan hanya terlibat sebagai sukarelawan untuk memandikan jenazah Muslimah.
Sebuah syarikat pengurusan jenazah antarabangsa menyarankan beliau menjadi pengawet jenazah, dan setelah melakukan kajian, beliau merasakan tanggungjawab untuk melibatkan diri.
KE MANILA
Perjalanan Zainab untuk menjadi pengawet jenazah bertauliah tidak mudah. Di Singapura, tiada institusi yang menawarkan kursus dalam bidang itu.
Beliau akhirnya memutuskan untuk belajar di Philippine Embalmers and Undertakers Review and Training Center di Manila pada awal 2023, kerana institusi ini menawarkan lesen yang diiktiraf oleh semua negara.
Walaupun Zainab seorang yang penakut, terutama terhadap lipas, ibu beliau memberikan sokongan penuh untuk meneruskan hasrat itu.
Zainab terpaksa berjauhan dengan keluarga selama lebih enam bulan untuk menimba ilmu dalam bidang ini.
KEMBALI KE SINGAPURA
Setelah tamat pengajian di Manila, Zainab kembali ke Singapura dan berdepan cabaran untuk mendapatkan tauliah sebagai pengawet jenazah.
Banyak pusat pengurusan jenazah enggan menerima beliau kerana mereka tidak tahu bahawa orang Islam boleh mengawet jenazah.
Namun, Zainab tidak berputus asa dan akhirnya diterima oleh Singapore Funeral Services (SFS), di mana beliau berjaya melengkapkan amali dalam sebulan dan mendapat tauliah.
BERKONGSI ILMU
Zainab kini berkongsi ilmu mengenai proses awet jenazah dalam kalangan komuniti Islam di Singapura melalui media sosial, ceramah di masjid dan radio.
Walaupun ada yang tidak menyukai pekerjaannya, terutama golongan berusia, Zainab tetap menerangkan pentingnya proses ini, terutamanya bagi mereka yang meninggal dunia di luar negara dan perlu dibawa pulang.
“Bukan semua dapat terima pekerjaan saya ini,” ujarnya. “Ada yang menyifatkan saya ‘menyeksa’ jenazah, terutama golongan berusia 70 tahun ke atas.”
Walaupun kecewa dengan sikap segelintir orang, Zainab berkata beliau faham bahawa isu pengawetan jenazah adalah tabu dalam kalangan komuniti Islam, terutama golongan konservatif.
ELAK AWET JIKA ADA PILIHAN
Zainab menekankan bahawa sebaiknya jenazah dikebumikan di tempat meninggalnya jika negara itu membenarkan.
Proses awet memang menyakitkan jasad, namun perlu dilakukan kerana itu syarat penerbangan antarabangsa.
Selain itu, kos awet sangat tinggi, contohnya S$6,000 untuk membawa jenazah dari Batam ke Singapura.
Zainab juga menjelaskan secara terperinci tentang prosedur awet jenazah, termasuk penggunaan formalin yang akan mengubah kulit jenazah menjadi kemerah-merahan.
“Saya akan bercakap terus-terang tentang proses awet, bagaimana kita perlu buat torehan di leher untuk masukkan formalin,” katanya. “Proses ini boleh mengambil masa hingga satu jam bergantung pada saiz jasad.”
CABARAN TERBESAR
Seperti kelaziman, Zainab juga tidak terkecuali daripada ditanya tentang perkara-perkara seram yang pernah dialaminya semasa bekerja.
“Memang ada (kejadian seram), tapi saya anggap itu hanya ujian. Bagi mengelakkan perkara tidak diingini, saya sentiasa pastikan diri saya dalam keadaan bersih dan berwuduk serta membaca lima ayat pertama surah Al-Mulk sebelum memulakan tugas,” kongsinya.
Bagaimanapun kata wanita ini, cabaran terbesar beliau bukanlah mendepani insiden seram, sebaliknya emosi diri yang kadangkala menguasai diri.
“Letih emosi dan saya pernah rasa ingin berhenti. Ketika itu saya masih menjalani latihan di Manila,” ujarnya ringkas ketika ditanya perkara yang paling mencabar buat dirinya.
Menurutnya, hati beliau akan turut terkesan apabila mendengar raungan keluarga dan waris di luar bilik mayat.
“Ada masa perlu uruskan jenazah anak damit… ini antara perkara yang agak mengganggu.
“Namun, mengenangkan ini adalah amanah, fardu kifayah, maka saya gagahkan diri tamatkan kursus,” tambah beliau.
Bercerita tentang kes yang masih beliau ingati, Zainab berkata pengalaman ‘merinding bulu roma’ itu melibatkan jenazah seorang juruterbang yang terkorban selepas pesawat ringan dipandunya terhempas.
“Pengalaman ini di Manila. Pesawat itu jatuh di dalam hutan ketika musim hujan. Pesawat terbakar, jenazah rentung dan terendam di dalam air selama tujuh hari sebelum ditemukan dan dibawa keluar.
“Jadi, boleh bayangkanlah keadaan mayat dan bau.
“Memang tidak boleh diawet. Namun si ibu mendesak agar mayat anaknya diawet dan dipersiap seperti jenazah sempurna lain.
“Saya berada di dalam bilik mayat seorang diri, sedang berlatih mekap jenazah dan boleh dengar suara si ibu bertengkar dengan pengurus pusat di luar.
“Pada masa sama, saya mendengar bunyi ketukan dari keranda keluli yang memuatkan jenazah juruterbang itu. Semakin lama semakin kuat bunyi ketukan.
“Hanya Allah sahaja yang tahu perasaan saya ketika itu. Perlahan-lahan saya letakkan semua alat mekap dan berjalan mengundur keluar dari bilik mayat dengan seluruh tubuh menggigil,” ujarnya sambil ketawa kecil.
Pada akhirnya kata Zainab, si ibu mengalah dan bersetuju mayat anaknya dibakar tanpa dipersiapkan seperti kelaziman bagi penganut Kristian.
Bagaimanapun itu hanya secebis kisah seram yang berlaku ke atasnya.
“Kalau diikutkan, insiden seram di Manila lagi ‘ganas’ berbanding di Singapura yang ala-ala ‘gurauan manja’,” katanya, tertawa.
PANDANGAN ANAK-ANAK
Ditanya tentang pandangan anak-anak, Zainab berkata kesemua anaknya – tiga lelaki dan dua perempuan – memberi sokongan penuh kepada beliau.
“Malah, saya mahu anak-anak menuruti langkah saya menjadi pengawet jenazah bagi memudahkan urusan keluarga.
“Kita tak tahu di mana ajal kita dan sebolehnya kita mahu keluarga uruskan sendiri jika ditakdirkan meninggal di luar negara,” ujarnya menutup bicara. – Bernama