Friday, April 26, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    Musnah seperti dalam ‘zon perang’

    MONTREAL, 25 SEPT – Sebahagian wilayah timur Kanada terkejut dengan kemusnahan akibat ribut kuat Fiona hari ini, ketika pakar kaji cuaca berkata cuaca terburuk sudah berlalu.

    Kelmarin, ribut telah membadai Nova Scotia dan Newfoundland, hingga memutuskan bekalan elektrik ribuan penduduk dan menghanyutkan rumah-rumah ke laut ketika ia membawa ribut kencang dan hujan “umpama yang tidak pernah dilihat sebelum ini,” kata polis.

    Dua wanita dihanyutkan ke lautan di Newfoundland, kata Polis Diraja Kanada. Seorang telah diselamatkan dan penyiasat sedang meneliti kes kedua.

    Datuk Bandar, Brian Button dari Channel-Port aux Basques, di hujung barat daya Newfoundland, berkata dalam video Facebook malam kelmarin bahawa kira-kira 20 buah rumah telah musnah dan komuniti itu kelihatan seperti ‘zon perang’.

    “Kami melihat kemusnahan di mana-mana,” ujarnya.

    Arahan memasak air minuman telah dikuatkuasakan, kata Button, menggalakkan penduduk yang memerlukan untuk berlindung di sekolah rendah tempatan.

    Sehingga lewat petang kelmarin, hampir 500,000 buah rumah mengalami gangguan bekalan elektrik di seluruh wilayah itu ketika ribut melanda kawasan yang luas, menumbangkan banyak pokok dan menerbangkan bumbung bangunan.

    “Talian elektrik terputus di mana-mana,” kata Erica Fleck, penolong ketua Bomba dan Kecemasan Wilayah Halifax, kepada CBC.

    Menurutnya, tidak selamat untuk berada di jalan raya.

    Walaupun kekuatan taufan itu diturunkan kepada siklon pasca-tropika, Fiona masih membawa angin ribut berkelajuan 130kmsj ketika ia mula-mula melanda Kanada selepas membadai Caribbean, menurut ahli meteorologi. – AFP

    Pokok tumbang menghempap sebuah rumah di Sydney, Nova Scotia ketika ribut Fiona membadai Maritimes pada 24 September. – AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...