Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Mei – Tiga buah sekolah telah menerima sumbangan buku hasil daripada ‘Projek Jom Derma Buku’ sempena Sambutan Hari Buku Sedunia 2019 anjuran Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD) melalui Bahagian Pengakap Kelana, baru-baru ini.
Penyampaian sumbangan buku berkenaan telah disempurnakan oleh Pesuruhjaya Ibu Pejabat Bahagian Pengakap Kelana, Hajah Nor Rahmat binti Sidin kepada Guru Besar Sekolah Rendah Katok ‘B’, Haji Muhammad Nikman bin Haji Muhammad Isa.
Di Sekolah Menengah Katok, Kluster 1 pula sumbangan telah disampaikan kepada pembantu perpustakaan tingkat II sekolah berkenaan, Dayang Haslina binti Haji Abdul Hamid.
Manakala Guru Kanan Sekolah Rendah Putat, Kluster 3 iaitu Dayangku Amal Nurhayati binti Pengiran Haji Ahmad menerima sumbangan tersebut bagi pihak Sekolah Rendah Putat.
Sumbangan buku itu merupakan sumbangan derma buku yang telah diterima daripada ahli-ahli pengakap, orang perseorangan dan syarikat-syarikat yang telah dimulakan pada 22 Februari hingga 18 April yang lalu.
Projek itu bermatlamat untuk menyahut titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam supaya rakyat negara ini celik membaca serta kepentingan dan mustahaknya membaca buku dalam kehidupan manusia dan mengamalkan membaca buku sepanjang hayat.
Ia juga boleh menggalakkan dan menimbulkan kesedaran kalangan ahli-ahli pengakap untuk beramal melalui sumbangan buku-buku bacaan dan rujukan peribadi masing-masing di samping dapat menambah koleksi buku-buku bacaan di perpustakaan sekolah dan Perpustakaan PPNBD.
