LONDON, 31 Mac – Pengurus Tottenham, Mauricio Pochettino (gambar bawah) menyangkal spekulasi yang mengaitkannya dengan tugas Barcelona dengan menegaskan bahawa dia tidak pernah membayangkan untuk mengendalikan gergasi Sepanyol itu.
Pochettino telah didapati bertemu dengan presiden Barcelona, Josep Maria Bartomeu di bandar Catalan minggu lepas, di tengah-tengah laporan bahawa dia kini menjadi calon utama untuk menggantikan Luis Enrique apabila dia pergi pada penghujung musim ini.
Tetapi warga Argentina berusia 45 tahun itu sebelum ini pernah mengendalikan pesaing bandar Barcelona, Espanyol, serta pernah bermain sehingga lebih 200 perlawanan bersama mereka. Pochettino, yang mana sahamnya melambung tinggi selepas menerajui Tottenham ke tangga kedua dalam Liga Perdana musim ini, mendakwa perjumpaannya dengan Bartomeu adalah tidak ada kena mengena dengan tugas di Barcelona dan berkata dia tidak akan mengkhianati bekas pasukannya di Sepanyol dengan berpindah ke Nou Camp.
“Ia adalah benar dan satu kebetulan bertemu di Barcelona beberapa hari lalu. Saya sudah lama mengenalinya sebelum dia menjadi pengerusi di Barcelona,” kata Pochettino.
“Ramai orang menyapa dan anda menghabiskan masa lima minit bersama. Itu adalah realiti.
“Dalam bola sepak, ia sukar untuk setia pada hati dan emosi anda, tetapi saya percaya sebelum menjadi pengurus atau pemain, anda perlu menjadi setia. Saya adalah penyokong Espanyol. Saya suka Espanyol.”
Ditanya jika sama ada dia memang pasti tidak akan mengambil tugas di Barcelona, Pochettino berkata: “Saya fikir jawapan saya sudah jelas.”
Penolong pengurus Barcelona, Juan Carlos Unzue merupakan calon utama untuk menggantikan Enrique, sementara pengurus Athletic Bilboa, Ernesto Valverde dilaporkan dalam pertimbangan. – AFP