Thursday, December 26, 2024
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Musuh ‘punca’ bantahan

    TEHRAN, 3 Jan – Pemimpin tertinggi Iran semalam menyalahkan ‘musuh-musuh’ ekoran kekacauan yang telah menyaksikan 21 kematian ketika Washington cuba menambah tekanan ke atas rejim Islam itu yang berdepan cabaran terbesarnya dalam tempoh beberapa tahun.

    Dalam ucapan yang disiarkan melalui televisyen negara, Ayatollah Ali Khamenei mula bersuara berhubung bantahan itu buat pertama kali sejak bantahan meletus Khamis lalu.

    “Musuh-musuh telah bersatu dan menggunakan semua kaedah mereka, wang, senjata, dasar dan perkhidmatan keselamatan untuk menimbulkan masalah untuk rejim Islam.” “Musuh sentiasa mencari peluang dan sebarang jalan untuk menyusup masuk dan menyerang negara Iran,” menurut pemimpin tertinggi itu.

    Malah para reformis yang menyokong pergerakan bantahan terbesar kali terakhir pada tahun 2009 menyelar kekacauan dan sokongan yang diterimanya daripada AS.

    Tetapi mereka juga menggesa pihak berkuasa untuk menangani sungutan ekonomi yang telah mencetuskan bantahan.

    Ali Khamenei bercakap dalam satu mesyuarat di Tehran, Iran, semalam. Khamenei mengatakan musuh-musuh telah bersatu dan menimbulkan kekacauan terhadap rejim itu. – AP

    “Rakyat Iran berhadapan dengan kerumitan dalam kehidupan seharian mereka dan berhak untuk menuntut secara aman dan membantah,” menurut kenyataan dari pertubuhan Association of Combatant Clerics, yang diketuai oleh bekas presiden reformis Mohammad Khatami.

    Malam kelima kekacauan kelmarin hingga Selasa telah menyaksikan enam orang pembantah terbunuh ketika serangan ke atas stesen polis di Qahderijan di tengah wilayah Isfahan, menurut stesen televisyen negara.

    Sekurang-kurangnya tiga lagi bandar berhampiran pusat kebudayaan Isfahan juga menyaksikan keganasan semalaman, yang mengakibatkan kematian terhadap seorang anggota muda kumpulan Pengawal Revolusi, seorang anggota polis dan seorang mangsa yang berada di tempat kejadian. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda