Pelakon, Mutalib Mubin berkongsi pengalaman ditahan pihak berkuasa di Tanah Suci Makkah pada 19 September lalu gara-gara memakai baju bertulis ‘Save Palestine’ yang memaparkan karikatur dikaitkan dengan kumpulan Hamas.
Menurut laporan mStar, Mutalib, 34, ketika kejadian, dia berada dalam keadaan baju tersebut tertutup dengan kain ihram, namun ia tetap mencetuskan perhatian pihak keselamatan.
“Saya telah ditahan di Tanah Suci pada 19 September kerana memakai baju ‘Save Palestine’ yang mempunyai karikatur berkaitan Hamas, dan saya menutupinya dengan kain ihram”.
“Pihak polis memaklumkan bahawa sebarang lambang atau tanda solidariti, terutamanya di Masjidil Haram, adalah tidak dibenarkan,” katanya.
Tambah Mutalib, pada awalnya dia dimaklumkan proses siasatan hanya akan mengambil masa sekitar dua jam, namun situasi berubah apabila dia ditahan hampir 24 jam dalam sel lokap.

Namun apa yang menjadi persoalan bagi pelakon itu adalah kehilangan beg miliknya yang diminta oleh polis untuk ditinggalkan berhampiran pintu lokap sebelum ditahan.
“Pada mulanya, mereka berjanji untuk menyelesaikan perkara itu dalam masa dua jam, namun saya akhirnya ditahan hampir 24 jam di dalam lokap. Saya tetap tenang dan reda berada di dalamnya,” ujarnya.
Dalam pada itu, Mutalib turut meluahkan rasa terkilan terhadap tindakan sesetengah pihak yang menafikan ruang solidariti terhadap perjuangan rakyat Palestin, khususnya dalam kalangan umat Islam sendiri.
Aktor itu menegaskan bahawa sebagai seorang Muslim, keutamaan seharusnya diberikan kepada kepentingan ummah, bukannya terikat kepada bangsa, keturunan atau kekayaan.
“Sebagai umat Islam, tidakkah kita sepatutnya hidup dengan memikirkan kepentingan ummah secara keseluruhan”.
“Bukan berpaksikan bangsa, keturunan, atau kekayaan apatah lagi ketika umat Islam sedang ditindas dan dibunuh setiap hari?,” jelasnya. – Agensi

