VENEZUELA – Salah satu daripada lima bintang yang pernah menghiasi fakad Hotel Margarita di pulau Venezuela yang indah telah tertanggal.
Namun, tiada siapa yang menyedari kerana hotel tersebut sudah lama terbiar. Dindingnya yang mengelupas menjadi simbol kemerosotan sebuah pulau yang dahulunya digelar sebagai ‘Mutiara Caribbean,’ tetapi kini kehilangan sinarnya akibat krisis ekonomi yang teruk.
Hanya beberapa minit perjalanan dari hotel itu, sekumpulan lembu kelihatan meragut rumput di hadapan Lagunamar, sebuah bekas hotel lima bintang lain yang juga telah ditinggalkan.
Keadaannya seolah-olah dilanda gempa bumi – bumbung bangunan pavilion di tepi kolam renang telah runtuh, lampu dan tandas yang tercabut terbiar di taman, meninggalkan timbunan runtuhan.
Namun, kerosakan itu sebenarnya bukan akibat bencana alam, tetapi perbuatan vandalisme. Pencuri logam telah memusnahkan kawasan itu untuk mendapatkan logam yang dijual demi keuntungan atau digunakan untuk membina pondok.
Pulau Margarita, yang merupakan sumber utama mutiara pada abad ke-15 dan ke-16, pernah menjadi destinasi pelancongan popular, menarik perhatian pelancong Amerika dengan pantainya yang putih dan dikelilingi pohon palma serta air laut berwarna turquoise.
Namun, kemerosotan ekonomi Venezuela, kadar jenayah yang tinggi, serta dipulaukan oleh antarabangsa akibat pilihan raya yang dipertikaikan telah memberi kesan kepada pulau yang dihuni kira-kira 500,000 penduduk itu.
KESURAMAN DAN KEMOROSOTAN EKONOMI
Tanda-tanda kemerosotan kelihatan di mana-mana. Deretan kedai pakaian dan cenderamata di jalan utama Santiago Marino kini kosong.
Bekalan elektrik sering terputus, dan letupan di sebuah kemudahan gas di negeri Monagas bulan lalu menyebabkan gangguan bekalan elektrik sehingga 20 jam sehari.
“Ini bukan Margarita yang dahulu,” kata Jose Padobani, seorang pelayan bar berusia 26 tahun.
Kemerosotan ekonomi selama sedekad di bawah pemerintahan Presiden Nicolas Maduro dari 2013 hingga 2023 menyaksikan kejatuhan KDNK sebanyak 80 peratus, dan lebih tujuh juta rakyat Venezuela – hampir satu perempat penduduk – telah meninggalkan negara itu untuk mencari kehidupan yang lebih baik.
Banyak yang berharap untuk kembali selepas pilihan raya Julai 2024, apabila tinjauan menunjukkan kemenangan mudah buat pembangkang. Namun, harapan itu musnah apabila Maduro mengisytiharkan kemenangannya, meskipun pembangkang menunjukkan keputusan yang memihak kepada calon mereka, Edmundo Gonzalez Urrutia.
USAHA BERTAHAN DI PULAU
“Semua kawan saya sudah pergi, tetapi saya tidak mahu tinggalkan tempat ini,” kata Juan Caiman, 44, seorang pembuat perabot. Ayahnya, seorang imigran dari Colombia, berpindah ke Venezuela pada 1980an untuk lari daripada keganasan.
Caiman adalah antara usahawan yang gigih bertahan di pulau ini, menghasilkan perabot mewah di sebuah bengkel berdekatan hotel Margarita yang ditinggalkan.
Seorang pemilik sebuah kedai sukan di Santiago Marino, Fadwa Hage, 55, berkata mereka yang kekal di pulau itu berbuat demikian untuk melindungi perniagaan mereka daripada kecurian. Namun, dia melihat tanda-tanda pemulihan. “Tahun ini, hanya di blok ini, tiga perniagaan baharu telah dibuka,” katanya.
“Kami ada pantai, gunung, dan banyak aktiviti pelancongan yang berpotensi. Pulau ini unik!,” tambahnya.
TARIKAN PELANCONG
Dengan ketiadaan pelancong Barat, kerajaan Venezuela melancarkan kempen untuk menarik pengunjung dari sekutu-sekutu seperti Rusia, Cuba, dan Poland. Sejak 2023, kira-kira 40,000 pelancong Rusia telah melawat Margarita dengan pakej pelancongan serba lengkap.
Beberapa papan tanda dengan bahasa Rusia, Turkiye, Poland dan Cina kini menghiasi pulau itu, manakala kelas luncur layang turut ditawarkan dalam pelbagai bahasa. Namun, ramai penduduk pulau mengadu mereka tidak mendapat manfaat daripada aliran pendapatan baharu itu.
“Kami bergantung kepada pelancong tempatan kerana pelancong Rusia tidak banyak berbelanja,” kata Demetria, seorang tukang urut pantai selama 16 tahun.
Di kawasan miskin Las Maritas, Crismar Lopez, 47, membuat hot dog di dapur kecil yang diterangi cahaya lilin.
Gangguan elektrik baru-baru ini membuatkan dia dan suaminya kehilangan pendapatan selama dua minggu kerana tidak dapat menyejukkan makanan.
Namun, Lopez, ibu kepada tiga anak, tetap tabah. “Rakyat Venezuela adalah pakar dalam seni bertahan hidup,” katanya. – AFP