BANDAR SERI BEGAWAN, 25 NOV – Penerbitan Buku Pelan Strategik Kementerian Pembangunan 2024-2029 merupakan satu mercu tanda bagi Kementerian Pembangunan dalam memberikan hala tuju bagi tempoh 5 tahun mendatang bagi kesinambungan perancangan pembangunan negara akan terus dilaksanakan.
“Dalam tempoh lima tahun ini, Kementerian Pembangunan telah menetapkan beberapa Matlamat Strategik Utama demi untuk mencapai tiga visi Kementerian iaitu: Kehidupan Berkualiti, Pembangunan Mampan dan Negara Makmur.”
Dengan matlamat-matlamat berkenaan, Kementerian Pembangunan akan terus komited dalam perancangan dan pelaksanaan rancangan pembangunan negara yang telah ditetapkan bagi memenuhi kehendak masa kini serta mampu bertahan dalam memberikan manfaat untuk generasi seterusnya.
Penekanan itu dibuat oleh Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid dalam ucapan alu-aluannya di Sesi Permuzakarahan Bersama Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara dengan Kementerian Pembangunan yang berlangsuang Dewan Atria Simpir, Ibu Pejabat Jabatan Kerja Raya, Berakas, hari ini.
Sesi muzakarah berkenaan disertai oleh rombongan seramai 11 ahli Majlis Mesyuarat Negara dengan diketuai oleh Yang Berhormat Awang Haji Sulaiman bin Haji Nasir iaitu Ketua Kampung Labu Estet dan Piasau-Piasau, Daerah Temburong.
Turut hadir sama ialah Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar), Dayang Dr Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak; Timbalan Setiausaha Tetap (Industri Pembinaan dan Kemajuan), Sr. Dayang Hajah Norhayati binti Haji Mohd Yaakub; Timbalan Setiausaha Tetap (Korporat dan Undang-Undang), Dayang Aldila binti Haji Mohamad Salleh; ketua-ketua jabatan serta pegawai-pegawai kanan dari Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya.
Dalam ucapan alu-aluannya lagi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda menyatakan keyakinan merealisasikan visi, misi dan matlamat yang selaras dengan Wawasan Brunei 2035 dengan kerjasama dan sokongan semua pihak.
Sesi permuzakarahan itu dihasrat untuk dijadikan sebagai satu platform untuk berbincang secara terbuka di antara kedua-dua belah pihak di samping bertukar-tukar pandangan dalam meningkatkan lagi kualiti perkhidmatan dan program yang diungkayahkan oleh Kementerian Pembangunan ke arah mencapai kesejahteraan rakyat.
Antara pegawai-pegawai kanan kementerian yang hadir.