Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Muzakarah kongsi maklumat, tukar pandangan

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 9 FEB – Kementerian Pembangunan dan ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) mengadakan sesi muzakarah untuk berkongsi maklumat dan menyampaikan pandangan yang berkaitan dengan kementerian itu yang berlangsung di Dewan Atria Simpur, Ibu Pejabat Jabatan Kerja Raya, Berakas hari ini.

    Mengalu-alukan kehadiran ahli-ahli MMN ke sesi muzakarah berkenaan ialah Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid.

    Rombongan MMN diketuai oleh Ketua Kampung Lumapas, Yang Berhormat Awang Mohammad Ali bin Tanjong.

    Turut hadir ialah Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar), Kementerian Pembangunan, Dr Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak; Timbalan Setiausaha Tetap (Industri Pembinaan dan Kemajuan), Sr Hajah Norhayati binti Haji Mohd Yaakub; Timbalan Setiausaha Tetap (Korporat dan Undang-undang), Kementerian Pembangunan, Dayang Aldila binti Haji Mohamad Salleh; ketua-ketua pengarah dan ketua-ketua jabatan serta para pegawai kanan dari Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya.

    Pada sesi muzakarah itu, Yang Berhormat Awang Mohammad Ali dalam ucapan balasnya menyatakan agar pertemuan itu akan dapat memberikan impak yang baik dalam memajukan apa jua isu-isu yang berkaitan dengan kementerian.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda bergambar ramai dengan ahli MMN dan pegawai-pegawai kanan Kementerian Pembangunan semasa sesi muzakarah yang berlangsung di Dewan Atria Simpur, Ibu Pejabat Jabatan Kerja Raya, Berakas, kelmarin.

    Ia juga salah satu cara untuk berkongsi pandangan dalam menangani isu-isu berkaitan dengan Kementerian Pembangunan, tambahnya.

    Majlis seterusnya menyaksikan ahli MMN diberikan taklimat yang disampaikan oleh Dr Nor Imtihan dan diikuti dengan tayangan klip video korporat Kementerian Pembangunan.

    Sesi muzakarah itu bermatlamat untuk memberikan penerangan kepada ahli-ahli MMN yang baharu dilantik mengenai peranan, visi dan misi Kementerian Pembangunan dan peranannya bagi menjayakan Wawasan Brunei 2035 termasuk projek-projek infrastruktur seperti sistem jalan raya, sistem saliran dan pembetungan dan perumahan negara.

    Ia juga sebuah platform untuk berbincang secara terbuka di antara kedua-dua belah pihak mengenai cabaran-cabaran yang dihadapi dalam memenuhi keperluan dan permintaan yang semakin meningkat.

    Ia juga diharapkan dapat meningkatkan lagi mutu perkhidmatan dalam penyediaan prasarana yang berkualiti yang dihasratkan oleh kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam sama-sama merealisasikan Wawasan Brunei 2035 bagi mencapai kualiti kehidupan yang tinggi.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda