Oleh Syahmi Hassan –
BANDAR SERI BEGAWAN, 10 SEPT – Selaras dengan fungsi dan tanggungjawabnya sebagai lidah, mata dan telinga kerajaan, Jabatan Penerangan melalui Cawangan Penerangan Daerah Tutong telah mengadakan Program Muzakarah Penerangan bersama penduduk Mukim Pekan Tutong di Dewan Kediaman Rasmi Pegawai Daerah Tutong, kelmarin.
Muzakarah yang antara lain menjurus kepada mendekati masyarakat secara turun padang dan bersifat bersua muka itu dipengerusikan oleh Pemangku Pengarah Penerangan, Dayang Siti Bismi Nuruliman binti Haji Awang Emzah.
Dalam ucapan alu-aluannya, Dayang Siti Bismi Nurul Iman antara lain menjelaskan bahawa program itu merupakan sebuah program di mana pihak kerajaan yang diwakili oleh agensi-agensi kerajaan berdialog atau bermuzakarah dengan pemimpin akar umbi masyarakat dalam menyampaikan dan menjelaskan apa jua perihal yang berkaitan dengan masalah orang ramai di samping berkongsi dan membarigakan maklumat rasmi kerajaan.
Ahli-ahli panel yang hadir terdiri daripada pegawai-pegawai kanan dari jabatan-jabatan kerajaan iaitu Jabatan Daerah Tutong, Jabatan Bandaran Tutong, Jabatan Jalan Raya dan Jabatan Saliran dan Pembetungan, Jabatan Kerja Raya, Jabatan Perkhidmatan Elektrik, Jabatan Sekolah-sekolah, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Antara perkara yang dibentangkan ialah mengenai prasarana, kemudahan awam, alam sekitar dan lain-lain.