Monday, May 5, 2025
26.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Muzakarah persediaan menjelang program vaksinasi

    Oleh Ak Zaki Kasharan & Daniel Lim

    BANDAR SERI BEGAWAN, 22 MAC – Sistem pemantauan vaksin menunjukkan bahawa terdapat kesan advers ringan berbanding prosedur perubatan lain seperti alergi terhadap antibiotik di mana sebilangan besar advers adalah ringan dan sementara.

    Kesan yang sering dilaporkan termasuk sakit pada tempat penyuntikan, sakit kepala, sakit otot atau sendi, demam ringan dan keletihan yang mana dengan pengambilan ubat penahan sakit seperti paracetamol jika diperlukan dapat merawat kesan ringan yang dihadapi tersebut.

    Perkara berkenaan adalah antara yang ditekankan dalam Sesi Muzakarah Program Vaksinasi COVID-19 yang diadakan oleh Kementerian Kesihatan khusus bagi penghulu, ketua kampung, majlis-majlis perundingan mukim dan kampung serta Pusat Kegiatan Warga Emas (PKWE) dari Daerah Brunei dan Muara dan Daerah Belait, hari ini.

    Lebih kurang 200 peserta telah menghadiri sesi muzakarah tersebut yang diadakan di Dewan Muhibbah, Lapangan Terbang Lama Berakas bagi Daerah Brunei dan Muara serta Dewan Kemasyarakatan Kampung Pandan Kuala Belait bagi Daerah Belait.

    Juga hadir semasa sesi muzakarah di Daerah Brunei dan Muara ialah Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Awang Misle bin Haji Abdul Karim dan taklimat mengenai Program Vaksinasi COVID-19 pula telah disampaikan oleh Pegawai Perubatan Kanan, Dr Mohammad Fathi bin Dato Paduka Haji Alikhan.

    Sesi soal jawab semasa sesi muzakarah di Daerah Brunei dan Muara.
    Salah seorang jemputan mengunjungi meja bantuan untuk mengetahui lebih lanjut mengenai aplikasi BruHealth semasa sesi muzakarah berkenaan.

    Di Daerah Belait, taklimat telah disampaikan oleh Pegawai Perubatan Daerah Belait, Dr Muhammad Norizni bin Haji Mosli.

    Sesi taklimat berkenaan bukan sahaja mengongsikan maklumat mengenai program tersebut malah bermatlamat untuk menjelaskan sebarang kekeliruan dan menjawab persoalan serta memberigakan maklumat tentang vaksin tersebut pada masa yang sama memberikan keyakinan kepada penduduk terhadap vaksinasi berkenaan.

    Di samping itu, hadirin turut berpeluang menyelesaikan sebarang isu berkaitan penggunaan aplikasi BruHealth di meja-meja pertanyaan yang disediakan.

    Program Vaksinasi COVID-19 akan dilaksanakan secara berfasa, yang mana dalam fasa pertama, golongan warga emas yang berumur 60 tahun ke atas adalah antara yang akan menerima vaksin COVID-19 terlebih dahulu.

    Peserta-peserta yang menghadiri sesi muzakarah berkenaan diharapkan akan dapat mengongsikan kepentingan mendapatkan vaksin dan maklumat berkenaan Program Vaksinasi COVID-19 kepada kesemua yang berkenaan, terutama sekali golongan warga emas di Daerah Brunei dan Muara dan Daerah Belait.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda