Wednesday, February 5, 2025
25.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Muzakarah SHENA, ketua komuniti kukuhkan kerjasama tingkat keselamatan tempat kerja

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 FEB – Kehadiran para penghulu mukim dan ketua kampung dalam sesi muzakarah membuktikan sokongan dan dorongan dalam memastikan kesejahteraan dan keselamatan di tempat kerja akan dapat dijamin.

    “Autoriti Kebangsaan Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar (SHENA) mengkategorikan komitmen abiskita untuk membimbing dan melindungi penduduk kampung dan sekitarnya khususnya, dan dari masyarakat secara amnya, amatlah bernilai kerana abiskita merupakan barisan hadapan dalam memastikan kesejahteraan dan keselamatan di tempat kerja mereka adalah mengikut perundangan, peraturan dan garis panduan yang telah ditetapkan,”

    Perkara itu dinyatakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif SHENA, Haji Muhsin bin Haji Ahmad dalam ucapan pembukaan di Sesi Muzakarah SHENA Bersama Penghulu-penghulu Mukim dan Ketua-ketua Kampung di Daerah Brunei dan Muara dan Daerah Temburong yang berlangsung di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong, hari ini.

    Hadir pada sesi muzakarah pertama berkenaan selaku tetamu kehormat ialah Setiausaha Tetap (Perbandaran dan Daerah), Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Awang Abdul Walid bin Haji Matassan.

    Setiausaha Tetap (Perbandaran dan Daerah) Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Abdul Walid bin Haji Matassan hadir selaku tetamu kehormat.

    Haji Muhsin berkata penghulu mukim dan ketua kampung diharap dapat memainkan peranan penting dalam memantau dan mengambil tindakan apabila berlaku sebarang tingkah laku pekerjaan yang tidak selamat seperti kerja-kerja pengubahsuaian atau pembinaan sama ada di premis persendirian atau premis awam.

    “Keprihatinan dan tindakan segera abiskita mampu menolong mencegah kemalangan di tempat kerja hatta menyelamatkan nyawa.”

    Ketua Pegawai Eksekutif SHENA, Haji Muhsin menyampaikan ucapan alu-aluan.

    Dalam sama-sama menangani situasi berkenaan, tambah beliau, pihak SHENA mengalu-alukan penghulu mukim dan ketua kampung untuk segera melaporkan sebarang pekerjaan yang tidak selamat khususnya yang melibatkan aktiviti kerja di kawasan atau zon masing-masing supaya pihak SHENA boleh mengambil tindakan susulan yang munasabah.

    “Bagaimanapun, makluman segera daripada pihak abiskita adalah kunci utama untuk memastikan keberkesanan pencegahan dapat kira realisasikan bersama, sekali gus dapat menangani isu keselamatan sebelum ia menjadi lebih serius dan parah,” tambah beliau.

    Haji Muhsin turut mendedahkan pada 2024, di sektor pembinaan sahaja, pihak SHENA dan Bahagian Keselamatan Pekerjaan, Kementerian Kesihatan telah merekodkan 3 kematian dan 131 kecederaan di tempat kerja.

    “Risiko kemalangan boleh dikurangkan dan dicegah sekiranya aspek-aspek keselamatan dilaksanakan dengan teratur,” ulas beliau.

    Sesi muzakarah berkenaan dilaksanakan bersama oleh Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Autoriti Kebangsaan Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar (SHENA), di mana ia merupakan satu pendekatan seluruh negara (whole of nation) dalam merealisasikan Wawasan Negara 2035 melalui kerjasama yang diperkukuh merentasi pelbagai lapisan masyarakat, matlamat keselamatan, kesihatan dan penjagaan alam sekitar dapat dicapai dengan lebih berkesan.

    Kepimpinan penghulu mukim dan ketua kampung memainkan peranan penting dalam membudayakan sikap berwaspada dan tanggungjawab di seluruh masyarakat.

    Atas & Bawah: Antara yang hadir ke muzakarah berkenaan.

    SHENA kekal komited untuk terus bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan dalam menegakkan dan meningkatkan tahap keselamatan dan kesihatan pekerjaan termasuk keselamatan radiasi.

    Kerjasama yang teguh dan penglibatan aktif masyarakat dapat mewujudkan persekitaran yang selamat, sihat dan harmoni dapat diwujudkan.

    Antara pembentangan pada sesi muzakarah berkenaan.
    Sesi gambar ramai semasa muzakarah berkenaan. – GAMBAR-GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda