Sabtu, 22 November 2025
29.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Muzik Beyonce belum diterbitkan dicuri

    Beberapa pemacu komputer yang mengandungi muzik belum diterbitkan milik superstar Amerika Syarikat (AS), Beyonce, dilaporkan telah dicuri daripada sebuah kereta sewa di Atlanta minggu lalu, menurut kenyataan polis kelmarin.

    Kecurian berlaku pada 8 Julai lalu, dua hari sebelum penyanyi ikonik itu memulakan siri konsert jelajah ‘Cowboy Carter’ di Atlanta. Menurut laporan polis, kereta tersebut digunakan oleh koreografer Beyonce, Christopher Grant, 37 tahun dan seorang penari.

    Grant memaklumkan kepada polis bahawa apabila dia kembali ke kereta tersebut, cermin belakangnya telah dipecahkan dan beberapa bagasi telah hilang.

    Antara barangan yang dicuri termasuk beberapa pemacu komputer yang ‘mengandungi muzik bertanda air’, beberapa lagu belum diterbitkan, perancangan visual untuk persembahan, serta senarai lagu lepas dan akan datang”, menurut laporan tersebut.

    Sebuah komputer riba, fon kepala dan beberapa pakaian mewah turut dilaporkan hilang.

    Kecurian berlaku dua hari sebelum Beyonce memulakan siri konsert jelajah ‘Cowboy Carter’ di Atlanta. – ktla.com

    Polis Atlanta telah menjejak lokasi terakhir komputer riba dan fon kepala menerusi isyarat GPS, namun tiada maklumat lanjut mengenai penemuan barangan itu setakat ini.

    Dalam kenyataan atas talian, pihak polis mengesahkan bahawa waran tangkap telah dikeluarkan terhadap seorang suspek yang tidak dinamakan, namun individu tersebut masih bebas.

    Konsert jelajah ‘Cowboy Carter’ bermula pada April lalu selepas Beyonce meraih Grammy pertamanya dalam kategori ‘Album Terbaik Tahun Ini’ untuk album bertemakan country itu, yang turut mengetengahkan bakat-bakat artis kulit hitam dalam genre yang sering dipinggirkan oleh industri muzik arus perdana.

    Beyonce menamatkan persembahan empat malamnya di Atlanta pada Isnin, dengan dua konsert terakhir dijadualkan berlangsung hujung Julai di Las Vegas. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda