Wednesday, March 5, 2025
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Muzik Melayu hidup semula menerusi ‘100 lagu 100 tahun’

    Sebanyak 100 lagu Melayu ikonik akan dirakam semula menerusi projek ‘100 Lagu 100 Tahun’ dalam usaha memelihara warisan muzik Melayu serta memastikan kesinambungan karya legenda untuk generasi akan datang.

    Projek dilaksanakan dengan kerjasama World Business Affairs Sdn Bhd dan syarikat rakaman Luncai Emas Sdn Bhd turut mendapat sokongan Kementerian Komunikasi Digital dan Multimedia (kini Kementerian Komunikasi) melalui Dana Kandungan Kreatif pada 2021.

    Pengerusi Eksekutif World Business Affairs Sdn Bhd, Prof Emeritus Datuk Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak, berkata projek itu bukan sekadar mengumpul lagu-lagu lama tetapi turut memberi nafas baharu kepada karya seni yang menjadi siulan masyarakat, dan dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh satu atau dua tahun.

    “Idea ini tercetus ketika saya masih berkhidmat sebagai Naib Canselor Universiti Utara Malaysia, selepas menyedari kepentingan lagu Melayu sebagai refleksi budaya dan sejarah.

    “Fasa pertama menyaksikan penerbitan 25 lagu, dengan projek ini dibahagikan kepada empat volume. Setiap satu mengandungi 25 lagu, dipilih berdasarkan kriteria utamanya mewakili zaman, mempunyai impak sosial dan digemari masyarakat,” katanya pada Majlis Peluncuran 100 Lagu 100 Tahun Vol.1 yang dirasmikan oleh Setiausaha Bahagian, Bahagian Pembangunan Kandungan, Kementerian Komunikasi Yazman Yahya.

    Lagu-lagu dalam Vol.1 termasuk Ulek Mayang (penyanyi asal Wan Salmah Wan Sulaiman), Nuri Terbang Malam (Qasim), Wajahmu Di Mana-Mana (Azlina Aziz), Kenangan Lalu (Flybaits), Madah Berhelah (Ziana Zain), Getaran Jiwa (P. Ramlee) dan Penantian (Kumpulan Harmoni).

    Projek melibatkan barisan penyanyi tanah air antaranya Datuk M. Nasir, Datuk Jamal Abdillah, Liza Hanim, Kaka Azraff, Bunga dan Lah Ahmad.

    Mohamed Mustafa berkata semua lagu yang dirakam semula dibuat dengan susunan muzik kontemporari tanpa menghilangkan keaslian karya asal bagi memastikan karya tersebut terus relevan.

    “Sebagai contoh, lagu Nuri Terbang Malam yang dipercayai sebagai lagu Melayu paling awal dirakam pada 1903, kini diberikan sentuhan baharu oleh M. Nasir. Versi baharu lagu itu mendapat sambutan luar biasa dengan tontonan ratusan ribu di platform digital seperti YouTube.

    “Bayangkan jika semua 100 lagu ini dapat dilaksanakan, ia bukan sahaja memperkenalkan semula karya lama kepada generasi muda tetapi juga memberi penghormatan kepada penggiat seni terdahulu selain mendidik generasi baharu mengenai evolusi muzik negara,” katanya. – Bernama

    Majlis Peluncuran 100 Lagu-Lagu Melayu Pilihan Terbaik Dalam 100 Tahun, pada 27 Februari. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda