GENEVA, 30 Nov – Reggae, yang merupakan alunan muzik santai dan memberi ketenangan kepada pendengarnya serta mendapat perhatian dunia menerusi artis seperti Bob Marley, telah disenarai sebagai khazanah budaya global Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan PBB (UNESCO) pada Khamis berkata genre muzik yang berasal dari Jamaica itu telah ditambah ke dalam senarai koleksi ‘warisan budaya tidak ketara’ agensi badan dunia tersebut kerana dianggap wajar dilindungi dan dipromosi.
“Sumbangan muzik reggae terhadap wacana antarabangsa berkaitan isu ketidakadilan, penentangan, cinta dan kemanusiaan menekankan dinamik elemen yang mencakupi sosio-politik, sensual dan spiritual,” kata UNESCO.
Genre muzik itu menyertai senarai tradisi kebudayaan yang termasuk kemahiran menunggang kuda Sekolah Menunggang Sepanyol di Vienna, ritual menjinakkan unta di Mongolia dan boneka Czech selain lebih 300 lagi amalan tradisional daripada seni pembuatan bot, menziarahi tempat-tempat suci sehinggalah memasak. Reggae, yang muncul pada akhir 1960an daripada genra ska dan rocksteady Jamaica, turut dipengaruhi irama jazz dan blues dari Amerika. – Bernama-NNN-Telesur